Selamat datang.
Blog ini menjadi medan untuk saya mencurah rasa, mencoret cerita dan menampal muka yang mana saya suka.
Selamat membaca dan berkongsi rasa.
Monday, November 30, 2009
Tiada lagi...
Hari ini saya mendapat berita, yang dia telah meninggal dunia pada sabtu yang lepas (28 Nov). Terkejut? Sudah tentu. Orangnya masih muda lagi. Belum sampai 40 tahun rasanya.
Selalunya saya akan bertembung dengan dia apabila mahu balik dari kerja kerana office saya berkongsi tangga dengan tempat kerjanya. Kalau tidak dia menegur, saya yang akan menyapa. Kini tiada lagi.
Ajal dan maut di tangan tuhan. Tidak lambat atau cepat walaupun sesaat. Saya pernah baca ayat ini, tetapi tidak ingat dimana "kita tahu bila tarikh kita dilahirkan, tetapi kita tidak tahu bila tarikh kita akan mati."
Al-Fatiha. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Amin.
Friday, November 27, 2009
Apa itu..
"Ibu! Seks tu apa bu?" Pertanyaan spontan dari anak saya setelah dia membaca senikata yang terdapat di skrin tv.
Dalam hati saya masa tu dah gelabah. Apa saya nak jawab yea.. Saya takut tersalah jawab sebenarnya. Dan saya tidak menyangka yang anak saya bertanya tentang itu. Umurnya baru mahu memasuki 9 tahun.
"Seks itu adalah jantina. Macam lelaki atau perempuan. Kalau binatang kita panggil jantan atau betina." Jawab saya.
Makna seks dalam kamus dewan: -
1) sifat-sifat yang membezakan lelaki atau perempuan.
2) Keinginan syahwat.
Saya tahu jawapan saya kurang tepat, kerana mengikut cerita yang kami sedang tonton itu maksudnya lebih terarah kepada makna yang ke 2.
Seingat saya, saya sendiri tidak pernah bertanya tentang seks kepada emak saya dari dulu sehingga sekarang. Perasaan malu lebih menguasai diri. Saya tahu hanya melalui pembacaan.
Berlainan dengan anak-anak zaman sekarang.Pemikiran mereka lebih ke hadapan.Mereka lebih suka berterus terang.
5 tahun lalu:-
"Nanti, Nurul lari dari rumah..padan muka ibu sebab tak ada anak lain..."Itu kata-kata tulus anak saya semasa dia berumur 4 tahun. Hanya kerana saya memarahi dia mengacau saya membuat kuih raya.
Perasaan saya pada masa itu hanya Allah saja yang tahu. Takut sungguh... Itu baru umur 4 tahun... Banyak lagi masa yang perlu saya tempuh. Hati saya terpujuk apabila memikirkan dia hanya budak yang tidak berakal (kalau dia ugut saya sekarang ni, memang saya tangan-tangan kan).Saya tak sangka dia sudah pandai berfikir ke arah itu dan juga mengugut saya.
Nampaknya saya kena bersedia dengan soalan-soalan maut dari anak saya selepas ini...
Anda bagaimana?
Wednesday, November 25, 2009
Rencah!
Lokasi: Rumah lama di Port dickson
Waktu : Pagi
Ramai orang sudah datang. Kawan saya tersenyum melihat ramai yang datang ke rumahnya hari itu. Berjumpa dengan sahabat lama, kaum keluarga dan tentu jiran sekampung mebuatkan seseorang itu terasa bahagia.
Adat kenduri kendara di kampung. Sudah tentu ada amalan bergotong royong itu wujud. Ada yang memotong sayur dan ada yang sedang memasak. Saya duduk di sebelah, salah seorang penanggah perempuan. Dia sedang sibuk menyiang daging untuk dijadikan rencah menggoreng kueh tiew untuk dijadikan sarapan pagi. Saya terkejut..
Saya memandang sekali lagi untuk memastikan apa yang saya pandang itu adalah benar. Daging bahagian kaki yang selalu saya tengok di AFC (ASIAN FOOD CHANEL)itu membuatkan tekak saya meloya. Kenapa mereka menggunakan daging itu (daging b..i).
Saya hanya mendiamkan diri. Mulut mahu menegur tetapi hati seolah-olah terpaku. Tidak betah mengeluarkan walau satu perkataan pun. Setelah kueh tiew itu masak, ramai yang memakan hidangan tersebut. Sekali lagi saya mahu menegur tetapi sama seperti tadi, bisu dan kaku.
Tiba-tiba saya terjaga. Ah! Mimpi rupanya.. Alhamdullilah (kerana ia hanya mimpi)
Tetapi kini, terbit rasa bersalah. Apakah maksud mimpi saya itu ?Kenapa saya tidak berkeras melawan hati saya yang terpaku dan kaku itu. Kenapa saya tidak menjerit mengatakan yang makanan itu adalah haram???
Saya pernah mendapat email. Memaparkan sebungkus daging b..i yang ada perkataan halal (dari negara jiran kita, kalau tidak salah saya)dibungkusannya. Email itu telah saya buang lama dahulu. Gambar yang saya paparkan di atas adalah gambar yang baru saya dapat bulan lepas.50% halal???? macam mana tu??
Rasa kecewa sebenarnya apabila melihat kedua-dua email itu. Perkataan halal sekarang ini terlalu murah...
Berhati-hatilah dengan apa yang kita makan, kerana itu semua akan menjadi darah daging.
Sunday, November 22, 2009
Alone!
Namanya Alone. Diberi nama sebegitu kerana dia seekor saja yang hidup antara 3 ekor. Seekor mati masa dilahirkan manakala seekor lagi mati ketika berumur 2 minggu (cacat dan tidak membesar). Alone adalah dari spesis Anggora.
Kini Alone sudah ada teman. 4 ekor adik alone dilahirkan pada Isnin yang lalu. Geli apabila melihatnya bukan...Saya sudah bersedia dengan bakul apabila melihat ibunya yang bernama Jasmine sudah mencabut bulu di badan dan mengemamnya di dalam mulut. Tak tahu kenapa tapi itu yang dilakukannya setiap kali arnab-arnab saya mahu beranak.
Teringat cerita lama. Masa tu mungkin saya berumur dalam lingkungan 8 tahun. Emak saya ada membela arnab, tetapi tidak dikurung di dalam kandang. Dibiarkan lepas bebas, lagipun tiada anjing yang berkeliaran di kampung saya.
Arnab itu beranak di dalam lubang tanah. Apabila dia keluar, anak-anak juga terkeluar sama. Pada masa itu saya menyangkakan yang anak arnab itu adalah anak tikus.
Apalagi, saya pun mengambil dan mencampakkannya ke dalam unggun api (pada ketika itu emak saya sedang membakar daun-daun kering)
Rasa bersalah? Sudah tentu...kalaulah saya boleh kembali ke zaman itu...
Thursday, November 19, 2009
Hujung minggu.
"Uwek.. busuk lah ibu." Itu kata anak saya, kalau dia mengikut. Selamba tangannya menutup hidung. Dia tidak peduli kepada peniaga yang memandang.
"Siapa suruh ikut." Itu jawapan saya yang paling senang.
Saya tidak suka dia mengikut ke pasar kerana ia nya akan melambatkan pergerakan. Orang ramai dan sudah tentunya simen yang dipijak, licin kerana lantainya basah. Setakat ini belum pernah saya berjumpa pasar ikan yang lantainya kering.
Sibuk nak betulkan seluar, nak tolak bakul yang beroda, sibuk nak mengimbangi badan supaya tak jatuh dan banyak lagi yang kadang-kadang membuatkan kesabaran saya menipis.
Sekarang ini dia akan duduk di kedai makan dan bersarapan bersama En Su. Jadi saya akan pergi bershoping ikan dan sayur selama mana yang saya suka.
Sebab itu, apabila ke pasar saya tidak akan memakai jam tangan dan handphone saya akan di tinggalkan di rumah. Saya tidak mahu diganggu. Inilah masanya saya mahu memilih, memicit dan membelek selama mana yang saya mahu.
Saya boleh berpusing 4 atau 5 kali di bahagian ikan/ayam/daging untuk memilih. Tetapi tidak dibahagian sayur-sayuran. Kerana apa? Kerana saya tak suka makan sayur... Itu kelemahan saya dan kini sudah ada yang mengikut (anak saya).
Dipasar juga saya boleh melihat gelagat orang. Pernah saya melihat seorang perempuan cina tua (lingkungan umur mungkin dalam 70an) memilih ikan bawal putih yang besarnya lebih sedikit dari duit syiling 50 sen seekor demi seekor. Begitu sabar dia memilih. Orang gajinya yang ada di sebelah sudah tunjuk muka bosan.. Begitu juga dengan sayur-sayuran. Kebanyakannya (selalu yg saya tengok, mereka berbangsa cina) memilih sebatang demi sebatang atau pun sehelai demi sehelai. Berbanding dengan saya. Tetapi tidaklah saya membeli membuta tuli.
Ada yang menarik perhatian saya minggu lepas. Seorang wanita bertudung, tetapi memakai seluar singkat. Kalau singkat hanya separas buku lali, saya amat memahaminya kerana saya juga melipat kaki seluar agar tidak terkena air dari lantai yang kotor. Tetapi wanita bertudung itu memakai seluar separas lutut. Pelik bukan. Tetapi benar.
Pelik sungguh fesyen sekarang ni...
Sunday, November 15, 2009
Rezeki dikongsi
Ini bakul kedua, buah mangga ini dipetik. Tiga hari sudah, satu bakul penuh juga telah dikait. Sudah di agihkan kepada jiran. Depan belakang, kiri dan kanan juga merasa. Alhamdullilah.
Pokok mangga yang ditanam menggunakan biji ini sudah berbuah dalam 3 tahun yang lepas.Itu pun setelah batangnya ditakik (orang kata kalau pokok tak berbuah, takik batangnya dengan parang).
Semasa pokok mangga ini belajar berbuah, ada satu perkara yang saya ingati sampai sekarang. Masa itu tengahari. Semua orang berada di dalam rumah. Sedang berehat. Tiba-tiba terdengar suara dua perempuan india di bawah pokok mangga. Kami menjengah.
"Adik..boleh mintak ini mangga?"
Saya terus ke luar dan mengambil galah. Dalam pada itu saya sempat mengerling ke dalam poket baju wanita india itu. Ada kelibat mangga di situ. Oh! Rupa-rupanya mereka telah mencuri (kerana ambil dahulu, baru minta)mangga itu. Rasanya mangga itu dikait dengan hujung cangkuk payung. Saya mengait 2 biji lagi mangga.
Ada juga rumah saya didatangi oleh seorang suami yang meminta mangga untuk isterinya yang kepingin dengan buah ini. Alhamdullilah. Tertunai juga.
Baru-baru ini, ada juga tiga orang budak perempuan yang datang meminta mangga.
"Mak cik, boleh minta mangga?"
"Boleh.. Tinggal kat mana ni?"
"Rumah flat tu..Saya suka mangga ni mak cik." Terus dia menggigit mangga itu.
Saya suka cara budak bertiga itu. Kenapa? Kerana kalau kita teringin mahu makan, kita minta saja dari tuan rumah. Sudah tentu permintaan kita tu tidak akan dihampakan (kecuali kalau tuan rumah itu memang kedekut. Itu tak boleh nak buat apa lah..)Lagipun kita cuma mahu minta sebiji dua, bukannya sebakul.
Buat apa mahu kedekut. Bukan boleh jadi kaya pun. Sekurang-kurangnya pokok ini akan sentiasa berbuah lebat, apabila buahnya diagih-agihkan. Biar semua merasa. Berkongsi rasa masam dan manisnya.
Dalam dunia ini, banyak yang kita kongsi;oksigen yang kita sedut, ilmu yang kita tuntut dan macam-macam lagi hatta rumah yang kita duduki juga (Saya yang tinggal di rumah teres ini berkongsi dinding kiri dan kanan dengan jiran sebelah). Jadi untuk apa kita kedekut sesama sendiri.
Tapi awas... ada satu saja yang selalunya perempuan tak mahu kongsi... kongsi S.U.A.M.I..
Dia ......
Pokok sena yang tinggi menongkat langit sedang berbunga waktu itu. Bunga yang berwarna kuning begitu memberat di ranting sehingga ianya hampir mencecah ke air. Bunga itu perlu dijauhi kerana banyak ulat bulu yang sudah tentunya akan mengundang rasa gatal.
Setelah puas bermain air lumpur, langit yang membiru di pandang. Bahang matahari terasa di muka. Terus dia bingkas bangun. Menuju ke perigi. Mandi dengan hanya berseluar pendek. Tidak berbaju. Sedikit pun tiada rasa malu. Tiada apa yang menonjol di badan ketika itu. Dua orang lagi, pun begitu juga. Gelak ketawa memenuhi kawasan perigi.
Berlari anak menuju ke rumah jiran. Badan yang basah tidak dipedulikan.
"Pak cik Mat, pukul berapa sekarang ni?"
Orang tua yang sedang berehat itu menjeling ke arah jam loceng yang sudah separuh usang. Jam yang pada waktu itu amat dihargai jasanya.
"Pukul 10.00."
Jawapnya pendek sahaja. Dia hanya tersenyum dan berlari lagi. Menuju ke rumah. Badan yang basah dikeringkan. Baju sekolah yang sudah dipakai tiga tahun berturut-turut itu disarung ke tubuh. Rambut yang panjang disikat. Gumpalan rambut yang kusut membuatkan dia menyeringai kesakitan.
Dia berlari lagi.
"Pak cik Mat, minta getah sedikit." Setelah ada angukan dia berlari menuju ke tong getah sekerap(getah yang dikutip dari kesan torehan di badan pokok getah sebelum memulakan torehan) yang di perbuat dari kotak kayu itu. Diambil dua tiga urat.
Rambut dicocang ekor kuda. Hujungnya dikemaskan dengan ikatan getah sekerap tadi. Mungkin busuk pada orang lain, tetapi getah itu yang banyak berjasa kepada dia.
Bekal nasi dan botol air dicapai. Tangan adik dipegang. Perjalanan menuju ke sekolah dimulakan dengan senyuman. Seorang lagi sahabatnya tadi dihantar dengan basikal tua ke sekolah.
Itulah rutin dia setiap hari.
Kini, pokok sena yang tinggi telah sekah. Telah hilang dari pandangan. Sisanya pun tidak tinggal lagi.
Kini, Pak Cik Mat yang selalu dijadikan tempat bertanya waktu itu juga tiada lagi. Sudah dijemput ajal.
Kini, sekiranya dia diberi pilihan samaada dia mahu kembali semula ke zaman itu, jawapannya adalah mahu.
Kalau ditanya kenapa?
Dia akan menjawab begini..walaupun kehidupannya sedikit perit (berbaju lusuh dan sedikit singkat ke sekolah, berbekalkan nasi lauk kicap dan telur dan berjalan kaki sehingga 2.5 km ke sekolah juga mengikat rambut dengan getah yang berbau busuk) pada waktu itu, tetapi dia gembira. Gembira sebagai seorang kanak-kanak yang bebas, tiada batasan. Tidak seperti kanak-kanak zaman sekarang ini.
Dulu tiada penjahat (kalau ada pun boleh dikira dengan jari) berbeza benar dengan zaman sekarang ini. Hendak melepaskan anak bermain di depan pagar pun sudah membuatkan ibubapa terasa cuak.
Siapakah dia? Dia adalah penulis blog ini.
Saturday, November 14, 2009
Setelah 17 tahun
Teringat semasa mula-mula proces mencari kembali teman sekolah. Rasa kelakar sebab aku pernah dimarah kerana tersalah sangka.
"Hello! Boleh bercakap dengan ...." Aku bersuara lembut.
"Siapa ni?" Suara seorang perempuang yang menjawab. Mungkin isterinya.
"Saya... Bekas kawan sekolah dia."
"Awak tahu tak, dia ni dah kahwin..."Panjang lebar ceramah yang dia bagi. So what? Berkerut dahi aku apabila mendengar kenyataan itu dari mulut si isteri..Aku pun dah kahwin ma...
"Tak apa lah..kirim salam saja ye..." Aku memutuskan talian setelah bosan bersoal jawab.
Susah kalau dapat isteri yang macam tu. Menyerang tak tentu pasal. Sudah tentu kita perlu bertanya siapa yang menelefon, tetapi tak payahlah bersoal jawab seperti polis.
Pada aku, selain dari keluarga, kita juga memerlukan sahabat kita. Sahabat yang berusia dari kita yang sudah tentunya perlu untuk memberi nasihat. Sahabat yang sebaya kita, untuk berbual perkara-perkara yang seusia(sekepala) dengan kita. Terpulanglah pada masing-masing.
Ada orang kata, seorang lelaki dan seorang perempuan tidak boleh menjadi sahabat. Lambat laun ianya akan membabitkan perasaan (maksudnya 'ter' jatuh cinta la).
Betul ke? Tepuk dada. tanya selera.