Selamat datang.

Selamat singgah.

Blog ini menjadi medan untuk saya mencurah rasa, mencoret cerita dan menampal muka yang mana saya suka.

Selamat membaca dan berkongsi rasa.



Showing posts with label memory. Show all posts
Showing posts with label memory. Show all posts

Saturday, October 15, 2011

Seorang wanita yang dipanggil ' kulai'.

Semasa saya membesar, mungkin umur
masa tu dalam 8 tahun rasanya. Kat
kampung tak de kedai runcit masa tu.

Jadi bekalan sayur di bawa oleh
seorang nyonya tu yang kami
panggil 'kulai'.

Nama betul memang kami tak tahu. Dia
punya bahasa memang melayu habis. Tak
pelat langsung.

Pakaian hari-hari dia cuma baju kemeja
dan seluar yang sama warna. Kasut pulak,
kasut getah.

Setiap hari datang bawak basikal dengan
raga penuh kat belakang. Macam-macam
sayur ada.

Dan saya ingat adalah keledek unggu
dan warna oren. Memang mak saya selalu
beli tu..

Tiba satu masa, Kulai ni lama tak
datang. Dengarnya, dia sakit.

Datang kami ni, pergilah melawat dia.
Memang nampak dia lemah tapi siap
boleh masak lagi.

Dapur dia satu je. Tapi dia masak
guna kuali besar. Sambil masak,
sambil bercerita dengan emak saya.

Kuali itu digunakan secara berturut
turut. Lepas masak sayur, goreng ikan.
Lepas tu pulak rebus telur masin..

Memang saya ingat perkara tu, sebab
saya memang ada kat situ. Sudah
masak, dia pelawa makan..Ah sudah!

Tapi kami tolak dengan baik dan
dia pun makan. Makan guna tangan lagi..

Rasanya sekarang ni, dia dah meninggal..
Ah! Kenangan lalu, memang meninggalkan
kesan dalam hati.. Dia sungguh baik!

Monday, April 18, 2011

Orang Import.

Semalam saya pergi Nilai 3. Berdua dengan cik abang.
Anak tinggal, tak mau ikut.

Niat di hati mahu mencari tudung. Banyak, macam-macam
fesyen ada. Ada yang pelik, ada yang cantik.. Bukan
ini yang saya nak cerita.

Ada kat satu kawasan ' textile walk'... Ada banyak
kedai yang jual tudung. Lebih dari sepuluh kut. Tapi
yang saya nampak semuanya kepunyaan orang luar. Orang
'Pakistan'..

Mana pergi orang kita agaknya? Sehinggakan semua di bolot
oleh orang mereka. Sebenarnya kalau nak diikutkan banyak
lagi kedai mereka.

Kedai perabot, kedai karpet pun mereka yang punya juga.
Tu.. kerusi tu cantikkan.. RM 55.00 ..dapat kurang 5 hinggit!
Tapi kat kedai sebelahnya jual RM 65.50. Siap ada 50 sen lagi..

Pun taukehnya orang import jugak.

Wednesday, April 13, 2011

Nasi dah kering.


Pic dari G.

Orang dulu-dulu, selalu jemur nasi. Nasi yang tak habis,
selalunya tidaklah banyak. Basuh dengan air lepas tu
jemur. Pastikan ianya betul-betul kering yea.Nak buat apa?

Emak saya dulu ada buat satu jenis makanan menggunakan nasi
kering. Tapi malangnya saya tak ingat apakah nama makanan itu.
Emak saya akan menggiling nasi kering, campur dengan gula dan
kelapa kalau tak silap. Lepas tu makan. Sedap, masa
budak-budak kan tengah pelahap...

Atau pun nasi kering itu bolehlah di goreng. Nanti nasi
itu akan jadi kembang macam inang-inang (tapi tak adalah bentuknya
bulat). Dah goreng toskan dari minyaknya.

Masak pula air gula (bubuhlah pewarna sikit). Dah likat
masukkan nasi yang telah digoreng tadi. Makan pun sedap.

Teringat satu kes, masa tu saya duduk kat Sungai Buluh.
Rumah flat, tingkat 4. Semput nafas panjat tangga. Sebelum
gi kerja , jemur nasi dulu...Kiranya balik nanti dah
kering agaknya.

Nak tahu apa jadi. Saya cuma ingat yang saya ada jemur nasi 3
hari kemudian.. Bila dicari rupanya sudah jatuh di bawah.
Terbang dek angin sudah..hahaha.. kesimpulannya, kalau duduk
rumah cam tu, jangan mudah lupa. Kalau tak selamat..

Bukan nasi kering je, kadang-kadang baju pun cam tu gak..Dan
yang paling saya kesal, telekung hadiah dari cikgu saya (sebab
dapat gred best dalam BM bila SPM). Terbang
juga di tiup angin kerana 'keterlupaan' saya.... Sayangnya...

Tuesday, April 12, 2011

Tukang Jahit.

Anda ada pengalaman dengan tukang jahit? Bertuahlah kalau
tak ada, sebab hati tak sakit. Bertuah juga kalau ada, sebabnya
itu semua akan jadi kenangan dan pengalaman yang tidak mungkin
akan dilupakan.

Saya? Ada. Dan hati saya sakit dan terluka sampai sekarang. Bila
pandang muka tukang jahit tu, teringat kat peristiwa lama. Kalau
setahun sekali jumpa tak apalah. Tapi kalau dah hari-hari jumpa
cam mana? Sendiri mau ingat.

Saya tempah baju kebaya. Ingat lagi warnanya putih dan ada dot-dot
hitam. Hantarnya dekat 3 bulan, kira-kiranya nak pakai waktu raya
lah ni. Saya pulak suka cakap saya nak pakai awal.

Si tukang jahit nie pulak suka buat kerja last minit. Pelik, memang
pelik. Kalau saya , mau tak tidur malam kalau orang nak cepat.

Nak tahu bila saya dapat baju yang saya tempah? Saya dapat baju
itu sehari sebelum raya. Saya mintak butang cina, yang saya dapat
hanya butang katup. Sakit, memang sakit hati.

Untuk mengubat hati yang lara, saya ambik baju tu dan cari butang
yang saya nak. Tapi dengan muka yang masam dari cuka….
Lama juga nak hilangkan perasaan marah dan menyampah tu.
Sekarang rasa itu masih berbekas kat dalam ni…Simpan…

Jadi sekarang ini, kalau nak jahit baju saya tempah tempat lain.
Walaupun mahal, tetapi siap dalam masa yang dijanjikan. Kadang-kadang
tu saya mahu baju saya siap dalam masa 2 minggu. Saja pedajal
kat tukang jahit, pada halnya bukan nak pakai cepat pun…
Pengalaman pahit punya pasal, tak pasal-pasal orang lain
yang kena…

Saya tahu jugalah menjahit sikit-sikit.. Hujung minggu sudah saya
jahit skirt labuh. Kain tu dah lama terbiarnya.. Adalah dalam 2 tahun
kut. Nasib baik tak dimakan dek lipas..Kalau tak dah jadi roti
kirai agaknya..hehehe..

Sebelum:-


Selepas :-
(tali skipping pun ada, sibuk orang nak menjahit..sibuk
lah anak dara tu naik main lompat-lompat.)

Friday, April 08, 2011

La Usurpadora.


pic - G

Tahun 1998, cerita ini top. La usurpadora.. Masa
tu memang saya tidak bekerja. Duduk rumah jaga
anak. Tapi memang penat. Jadi saya memang tabik
spring kepada yang duduk rumah.

Sebab kalau duduk rumah, kerjanya tidak berhenti.Jadi
kalau orang kata, duduk rumah tak penat memang
bohonglah jawabnya. Ah! Sudah melalut pulak.

Yang saya ingat, cerita ni kalau tak silap
mulanya pukul 3 petang. Habis kul 4 petang. 1 jam
memang tak puas tengok.

Cerita tentang adik beradik kembar. Paula dan Paulina.
Paula ni dah kahwin dengan satu mamat handsome, Carlos Daniell.
Tapi dia tak suka sebab terkongkong. Jadi bila dia
pergi melancong dan terjumpa dengan adik kembarnya, dia
menuduh adiknya itu mencuri.

Paulina yang tidak mencuri merasa takut dan terpaksa
menerima ugutan untuk menggantikan tempatnya di rumah
suaminya. Memang best.

Saya suka dengan watak Paulina yang lembut, heronya
lagi kacak dan bergaya...

Mana nak beli VCD ni agaknya. Nak juga buat koleksi.

Thursday, April 07, 2011

Lauk yang sedap.


Lauk apa yang paling sedap? Lauk yang 'simple'.
Pada saya yang 'simple' adalah yang bakar-bakar
je.Kita bakor! Bakar pulak guna kayu api. Fuh!

Oleh kerana badan letih, masa balik kampung hari tu
saya bakar je ikan. Ikan jaket & sambal kicap, bayam rebus dan
sambal goreng ikan bilis dan ulam jering.

Alhamdullilah bertambah emak saya makan.

Jering banyak tapi tak ada galah . Jadi ambil saja
yang boleh dicapai oleh tangan. Itulah guna
orang tinggi nie..

Thursday, March 17, 2011

3 acara

Pada 13/3/11 - Ahad berlangsunglah 3 acara.


Anak buah suami, bertunang dengan orang Pasir Mas Kelantan.
Acaranya bermula dalam pukul 12.30 tengahari. Ramailah sepupu
sepapat yang datang. Saya datang awal, kul 7 setengah
dah sampai. Orang dapur lah katakan.ceewah.

Menunya pula pelbagai. Macam-macam ada.


Ini pulak adik kepada yang diatas. Bertunang hari yang
sama juga, tetapi pada waktu yang berlainan. Dia punya
acara dalam pukul 4 setengah. Jarak juga waktunya.

Rombongannya pula dari Kuala Selangor.


Ini pulak yang menyambut hari lahir. Sama sebaya dengan
anak saya. Cukup 11 tahun dah..

Senangkan sekali jalan. Belanjanya pun sekali keluar.
Belum dikira kecahnya rumah lagi....

Monday, March 14, 2011

Cuba teka

Semasa saya berada di Sedhili kecil hari tu, saya nampak
banyak benda menarik di pantainya. Benda yang tak sepatutnya
berada di tepi pantai.

Cuba anda teka apakah benda itu.

Thursday, March 10, 2011

Ahad punya cerita.

Hari ahad dalam pukul 8 dah bergerak. Baru nak masuk kerata
adik ipar suruh tunggu kejap. Sebab apa?


Sebab budak rambut tegak nie, nak pakai minyak wangi. Dia
bau kat badan mak dia, sudah merengek nak pakai jugak.
Kenalah bukak balik pintu. Tengoklah mukanya tu...


Sepupu saya dan abang ipar. Memang dia orang mintak
t-shirt pagoda dari keluarga pengantin lelaki untuk
penanggah. Tak panaslah kut.


Anak buah suami. Kenapa tak pakai baju kurung? Sebab
dia orang datang awal pagi nak menolong. Kiranya
tengahhari baru nak tukar, tapi tak jadi..


Anak sibuk menolong mericih nenas yang telah 'ter' potong
besar.


Ini saja gambar pengantin yang dapat di ambil. Tangan tak
berbedung, gambar pun jadi tak cantik... Salah tangan
lah pulak.hehehe..


Duit & bunga yang diberi untuk penanggah. Kalaulah di beri
1 ribu ringgit, dan-dan tu juga saya pergi beli anak
kucing hari tu.. entah ada lagi ke tidak agaknya.


Saya, kakak ipar,anak-anaknya dan juga adik ipar.

Wednesday, March 09, 2011

Majlis menyambut menantu.

Kalau hujung minggu sudah ke Johor, kali ni
ke Senawang pulak. Ini gambar malam berinai,
tetapi tak ada berinainya..Esok 'lansung'.


Temanya coklat and warna emas.


Anak dara saya dan sepupu sepapatnya.Kalau dah jumpa
memang tak ingat punya.


Saya dan adik ipar. yang sebelah kanan sekali itu adalah
pengantin. Tengah membungkus kuih baulu.



Syoknya makan sup tulang. Daging segarlah katakan..Layan..


Pak long saya yang tidak berapa sihat. 3 minggu sudah jatuh
dari tangga dah patah tangannya. Sedang menunggu anaknya
habis menolong penanggah.

Bersambung..

Sunday, November 15, 2009

Dia ......

Dia berlari anak menuju ke pantai. Seorang sahabat dan adiknya mengikut dari belakang. Air yang berlumpur (air laut yang baru mahu pasang)diterjahi tanpa rasa geli atau takut kepada anak ikan duri yang ternyata hebat dengan bisanya. Setiap hari sebelum ke sekolah itu adalah perkara wajib yang dilakukan.

Pokok sena yang tinggi menongkat langit sedang berbunga waktu itu. Bunga yang berwarna kuning begitu memberat di ranting sehingga ianya hampir mencecah ke air. Bunga itu perlu dijauhi kerana banyak ulat bulu yang sudah tentunya akan mengundang rasa gatal.

Setelah puas bermain air lumpur, langit yang membiru di pandang. Bahang matahari terasa di muka. Terus dia bingkas bangun. Menuju ke perigi. Mandi dengan hanya berseluar pendek. Tidak berbaju. Sedikit pun tiada rasa malu. Tiada apa yang menonjol di badan ketika itu. Dua orang lagi, pun begitu juga. Gelak ketawa memenuhi kawasan perigi.

Berlari anak menuju ke rumah jiran. Badan yang basah tidak dipedulikan.

"Pak cik Mat, pukul berapa sekarang ni?"

Orang tua yang sedang berehat itu menjeling ke arah jam loceng yang sudah separuh usang. Jam yang pada waktu itu amat dihargai jasanya.

"Pukul 10.00."

Jawapnya pendek sahaja. Dia hanya tersenyum dan berlari lagi. Menuju ke rumah. Badan yang basah dikeringkan. Baju sekolah yang sudah dipakai tiga tahun berturut-turut itu disarung ke tubuh. Rambut yang panjang disikat. Gumpalan rambut yang kusut membuatkan dia menyeringai kesakitan.

Dia berlari lagi.

"Pak cik Mat, minta getah sedikit." Setelah ada angukan dia berlari menuju ke tong getah sekerap(getah yang dikutip dari kesan torehan di badan pokok getah sebelum memulakan torehan) yang di perbuat dari kotak kayu itu. Diambil dua tiga urat.

Rambut dicocang ekor kuda. Hujungnya dikemaskan dengan ikatan getah sekerap tadi. Mungkin busuk pada orang lain, tetapi getah itu yang banyak berjasa kepada dia.

Bekal nasi dan botol air dicapai. Tangan adik dipegang. Perjalanan menuju ke sekolah dimulakan dengan senyuman. Seorang lagi sahabatnya tadi dihantar dengan basikal tua ke sekolah.

Itulah rutin dia setiap hari.

Kini, pokok sena yang tinggi telah sekah. Telah hilang dari pandangan. Sisanya pun tidak tinggal lagi.

Kini, Pak Cik Mat yang selalu dijadikan tempat bertanya waktu itu juga tiada lagi. Sudah dijemput ajal.

Kini, sekiranya dia diberi pilihan samaada dia mahu kembali semula ke zaman itu, jawapannya adalah mahu.

Kalau ditanya kenapa?

Dia akan menjawab begini..walaupun kehidupannya sedikit perit (berbaju lusuh dan sedikit singkat ke sekolah, berbekalkan nasi lauk kicap dan telur dan berjalan kaki sehingga 2.5 km ke sekolah juga mengikat rambut dengan getah yang berbau busuk) pada waktu itu, tetapi dia gembira. Gembira sebagai seorang kanak-kanak yang bebas, tiada batasan. Tidak seperti kanak-kanak zaman sekarang ini.

Dulu tiada penjahat (kalau ada pun boleh dikira dengan jari) berbeza benar dengan zaman sekarang ini. Hendak melepaskan anak bermain di depan pagar pun sudah membuatkan ibubapa terasa cuak.

Siapakah dia? Dia adalah penulis blog ini.

Saturday, November 14, 2009

Setelah 17 tahun


Sabtu, 7 Nov merupakan hari yang gembira. Bertemu semula setelah 17 tahun berpisah. Walaupun tak cukup korum, tetapi ianya berbaloi. Berbaloi kerana setelah penat mendail dan bersms, dapat juga berkumpul.

Teringat semasa mula-mula proces mencari kembali teman sekolah. Rasa kelakar sebab aku pernah dimarah kerana tersalah sangka.

"Hello! Boleh bercakap dengan ...." Aku bersuara lembut.

"Siapa ni?" Suara seorang perempuang yang menjawab. Mungkin isterinya.

"Saya... Bekas kawan sekolah dia."

"Awak tahu tak, dia ni dah kahwin..."Panjang lebar ceramah yang dia bagi. So what? Berkerut dahi aku apabila mendengar kenyataan itu dari mulut si isteri..Aku pun dah kahwin ma...

"Tak apa lah..kirim salam saja ye..." Aku memutuskan talian setelah bosan bersoal jawab.

Susah kalau dapat isteri yang macam tu. Menyerang tak tentu pasal. Sudah tentu kita perlu bertanya siapa yang menelefon, tetapi tak payahlah bersoal jawab seperti polis.

Pada aku, selain dari keluarga, kita juga memerlukan sahabat kita. Sahabat yang berusia dari kita yang sudah tentunya perlu untuk memberi nasihat. Sahabat yang sebaya kita, untuk berbual perkara-perkara yang seusia(sekepala) dengan kita. Terpulanglah pada masing-masing.

Ada orang kata, seorang lelaki dan seorang perempuan tidak boleh menjadi sahabat. Lambat laun ianya akan membabitkan perasaan (maksudnya 'ter' jatuh cinta la).

Betul ke? Tepuk dada. tanya selera.