Selamat datang.

Selamat singgah.

Blog ini menjadi medan untuk saya mencurah rasa, mencoret cerita dan menampal muka yang mana saya suka.

Selamat membaca dan berkongsi rasa.



Sunday, November 15, 2009

Dia ......

Dia berlari anak menuju ke pantai. Seorang sahabat dan adiknya mengikut dari belakang. Air yang berlumpur (air laut yang baru mahu pasang)diterjahi tanpa rasa geli atau takut kepada anak ikan duri yang ternyata hebat dengan bisanya. Setiap hari sebelum ke sekolah itu adalah perkara wajib yang dilakukan.

Pokok sena yang tinggi menongkat langit sedang berbunga waktu itu. Bunga yang berwarna kuning begitu memberat di ranting sehingga ianya hampir mencecah ke air. Bunga itu perlu dijauhi kerana banyak ulat bulu yang sudah tentunya akan mengundang rasa gatal.

Setelah puas bermain air lumpur, langit yang membiru di pandang. Bahang matahari terasa di muka. Terus dia bingkas bangun. Menuju ke perigi. Mandi dengan hanya berseluar pendek. Tidak berbaju. Sedikit pun tiada rasa malu. Tiada apa yang menonjol di badan ketika itu. Dua orang lagi, pun begitu juga. Gelak ketawa memenuhi kawasan perigi.

Berlari anak menuju ke rumah jiran. Badan yang basah tidak dipedulikan.

"Pak cik Mat, pukul berapa sekarang ni?"

Orang tua yang sedang berehat itu menjeling ke arah jam loceng yang sudah separuh usang. Jam yang pada waktu itu amat dihargai jasanya.

"Pukul 10.00."

Jawapnya pendek sahaja. Dia hanya tersenyum dan berlari lagi. Menuju ke rumah. Badan yang basah dikeringkan. Baju sekolah yang sudah dipakai tiga tahun berturut-turut itu disarung ke tubuh. Rambut yang panjang disikat. Gumpalan rambut yang kusut membuatkan dia menyeringai kesakitan.

Dia berlari lagi.

"Pak cik Mat, minta getah sedikit." Setelah ada angukan dia berlari menuju ke tong getah sekerap(getah yang dikutip dari kesan torehan di badan pokok getah sebelum memulakan torehan) yang di perbuat dari kotak kayu itu. Diambil dua tiga urat.

Rambut dicocang ekor kuda. Hujungnya dikemaskan dengan ikatan getah sekerap tadi. Mungkin busuk pada orang lain, tetapi getah itu yang banyak berjasa kepada dia.

Bekal nasi dan botol air dicapai. Tangan adik dipegang. Perjalanan menuju ke sekolah dimulakan dengan senyuman. Seorang lagi sahabatnya tadi dihantar dengan basikal tua ke sekolah.

Itulah rutin dia setiap hari.

Kini, pokok sena yang tinggi telah sekah. Telah hilang dari pandangan. Sisanya pun tidak tinggal lagi.

Kini, Pak Cik Mat yang selalu dijadikan tempat bertanya waktu itu juga tiada lagi. Sudah dijemput ajal.

Kini, sekiranya dia diberi pilihan samaada dia mahu kembali semula ke zaman itu, jawapannya adalah mahu.

Kalau ditanya kenapa?

Dia akan menjawab begini..walaupun kehidupannya sedikit perit (berbaju lusuh dan sedikit singkat ke sekolah, berbekalkan nasi lauk kicap dan telur dan berjalan kaki sehingga 2.5 km ke sekolah juga mengikat rambut dengan getah yang berbau busuk) pada waktu itu, tetapi dia gembira. Gembira sebagai seorang kanak-kanak yang bebas, tiada batasan. Tidak seperti kanak-kanak zaman sekarang ini.

Dulu tiada penjahat (kalau ada pun boleh dikira dengan jari) berbeza benar dengan zaman sekarang ini. Hendak melepaskan anak bermain di depan pagar pun sudah membuatkan ibubapa terasa cuak.

Siapakah dia? Dia adalah penulis blog ini.

No comments:

Post a Comment