Selamat datang.

Selamat singgah.

Blog ini menjadi medan untuk saya mencurah rasa, mencoret cerita dan menampal muka yang mana saya suka.

Selamat membaca dan berkongsi rasa.



Sunday, November 15, 2009

Rezeki dikongsi



Ini bakul kedua, buah mangga ini dipetik. Tiga hari sudah, satu bakul penuh juga telah dikait. Sudah di agihkan kepada jiran. Depan belakang, kiri dan kanan juga merasa. Alhamdullilah.

Pokok mangga yang ditanam menggunakan biji ini sudah berbuah dalam 3 tahun yang lepas.Itu pun setelah batangnya ditakik (orang kata kalau pokok tak berbuah, takik batangnya dengan parang).

Semasa pokok mangga ini belajar berbuah, ada satu perkara yang saya ingati sampai sekarang. Masa itu tengahari. Semua orang berada di dalam rumah. Sedang berehat. Tiba-tiba terdengar suara dua perempuan india di bawah pokok mangga. Kami menjengah.

"Adik..boleh mintak ini mangga?"

Saya terus ke luar dan mengambil galah. Dalam pada itu saya sempat mengerling ke dalam poket baju wanita india itu. Ada kelibat mangga di situ. Oh! Rupa-rupanya mereka telah mencuri (kerana ambil dahulu, baru minta)mangga itu. Rasanya mangga itu dikait dengan hujung cangkuk payung. Saya mengait 2 biji lagi mangga.

Ada juga rumah saya didatangi oleh seorang suami yang meminta mangga untuk isterinya yang kepingin dengan buah ini. Alhamdullilah. Tertunai juga.


Baru-baru ini, ada juga tiga orang budak perempuan yang datang meminta mangga.

"Mak cik, boleh minta mangga?"

"Boleh.. Tinggal kat mana ni?"

"Rumah flat tu..Saya suka mangga ni mak cik." Terus dia menggigit mangga itu.

Saya suka cara budak bertiga itu. Kenapa? Kerana kalau kita teringin mahu makan, kita minta saja dari tuan rumah. Sudah tentu permintaan kita tu tidak akan dihampakan (kecuali kalau tuan rumah itu memang kedekut. Itu tak boleh nak buat apa lah..)Lagipun kita cuma mahu minta sebiji dua, bukannya sebakul.

Buat apa mahu kedekut. Bukan boleh jadi kaya pun. Sekurang-kurangnya pokok ini akan sentiasa berbuah lebat, apabila buahnya diagih-agihkan. Biar semua merasa. Berkongsi rasa masam dan manisnya.

Dalam dunia ini, banyak yang kita kongsi;oksigen yang kita sedut, ilmu yang kita tuntut dan macam-macam lagi hatta rumah yang kita duduki juga (Saya yang tinggal di rumah teres ini berkongsi dinding kiri dan kanan dengan jiran sebelah). Jadi untuk apa kita kedekut sesama sendiri.

Tapi awas... ada satu saja yang selalunya perempuan tak mahu kongsi... kongsi S.U.A.M.I..

No comments:

Post a Comment