Semalam selepas habis sambutan di rumah pengantin lelaki, kami bergegas ke Hospital Kajang. Melawat Maklong yang sakit. Kencing manis yang semakin teruk nampaknya. Semasa kami tiba, dia sedang lalok. Sedang tak tentu arah sambil matanya sekejap terpejam dan sekejap lagi terbuka. Lalok kerana ubat.
Hari ini sekali lagi kami ke sana. Mendapat berita yang dia sudah dipindahkan ke ICU. Baru lepas pembedahan. Membuang nanah di hujung kaki. Dengar kata, hujung kakinya dikorek untuk membuang nanah yang sudah bertakung. Tahu sahajalah penyakit kencing manis macam mana. Puncanya hanya terantuk semasa mahu pergi ke bilik air sahaja. Melarat jadinya. Ditambah pula dengan kuman yang sedang merebak ke paru-paru.
Maklong saya ini seorang yang serba serbi tahu. Mengandam, bidan perempuan, tukang urut, dan macam-macam lagi. Kalau anak saya demam tak juga kebah, ke rumah dialah kami tuju. Minta air. Ialah, walaupun kita di zaman moden, kita kena percaya bahawa alam jin juga wujud. Selalunya kalau anak saya sakit, saya akan menuju ke klinik atau hospital dulu. Tetapi kalau tak elok juga, rumah Maklong saya akan menjadi pilihan. Setakat ini Alhamdulliah, dengan izinNYA.
Orangnya peramah. Bukan saja peramah, tetapi juga penyayang. Saya yang sudah tua ni pun, selalu dicium oleh Maklong saya ini. Disenangi oleh semua orang.
Tadi semasa di ICU, melihat dia yang terbaring tidak sedarkan diri dengan banyak wayar air berselirat di badan membuatkan saya sebak. Saya sempat mengira berapa banyak botol ubat yang tergantung tadi. Rasanya ada empat. Wayar- wayar yang besar (rupanya macam corong air keluar yang dekat mesin basuh kita)pun ada.
Semoga Maklong saya cepat sembuh. Amin...
No comments:
Post a Comment