Selamat datang.

Selamat singgah.

Blog ini menjadi medan untuk saya mencurah rasa, mencoret cerita dan menampal muka yang mana saya suka.

Selamat membaca dan berkongsi rasa.



Thursday, December 31, 2009

Hari Jumaat...







Kejadian 11/12/09 - Jumaat.

Gambar 1 & 2

" Ibu! Cepat!" Tidur saya terganggu apabila mendengar suami saya menjerit dalam keadaan kelam kabut. Dia bangun awal pagi itu kerana hendak menghantar barang ke Bentong, Pahang.

Saya bangun dan terus meluru keluar. Ada seekor anak arnab yang melintuk liuk dilantai yang kasar dan basah dan berlumur dengan pasir dan kotor. Anak Arnab itu mungkin ditendang oleh ibunya dari kandang yang separas pinggang saya. Nasib baik tak mati.Saya namakan dia Marcel (badannya berwarna hitam dan putih).

Satu lagi berada di dalam kandang. Saya namakan Marco. Anak kepada pasangan adik beradik yang saya namakan Chinta & Akid. Akid ni kacak tau. Ada tahi lalat di sebelah pipi kiri.

Penyakit lelah yang meninggalkan saya 22 tahun yang lalu hampir menyerang kembali, kerana saya mencium Akid. Penyudahnya kena marah dan bebel dengan mak saya. Terus saya tinggalkan tabiat itu.

Marcel dan Marco ini diberanakkan pada hari Jumaat (11/12/09). Saya namakan sedemikian, sebab masa itu saya tengah membaca MH. Kan Marcel pandai 'terbang' (dari kandang ke bawah..he..he). Sekarang ini hanya tinggal Marcel sahaja. Marco telah mati pada Isnin yang lalu (28 dec). Tidak tahu kenapa. Pagi itu sebelum pergi kerja, saya menggangkat dia untuk disusukan. Perutnya berlubang sehingga nampak isi dalamnya. Tiada air mata saya ketika itu. Sayang sungguh.


Kejadian : 25/12/09 - Jumaat

Gambar 3

Seperti biasa, bagun pagi saya akan menyelak kain langsir.Mata saya terpaku. Sebab ada seekor anak arnab di lantai, berdekatan dengan kandang emaknya. Saya memang mengasingkan anak dan ibunya- takut kena pijak. Saya tidak letak nama pada anak arnab ini. Adik beradiknya enam ekor. (dua ekor putih semuanya, dua ekor bercelak matanya dan dua ekorlagi ada corak hitam di punggungnya)

"Kakak, cepat..." Terburu-buru saya mengambil kunci. " Ambik tudung ibu cepat.." Meluru saya keluar. Anak arnab itu juga meluru menapatkan saya.

Perasaan saya masa itu, tak dapat diluahkan. Sayang, kasih, takut dan macam-macam lagi.Sayang dan kasih kerana anak arnab itu meluru dekat saya, seolah-olah meminta pertolongan dari saya. Saya takut anak arnab itu menjadi mangsa sang kucing yang selalunya akan tidur di atas kereta saya.

Sekali lagi, Alhamdulillah anak arnab itu terselamat. Tetapi hidungnya berdarah. Sangkar yang saya letakkan sama tinggi dengan paras muka saya itu mungkin dipanjat sehingga ke atas bumbungnya yang tidak di letakkan dawai kawat yang halus.Sekarang ini dia sudah sembuh. Sudah diletakkan minyak gamat.

Mungkin hujung minggu ini saya akan menjualnya ketujuh-tujuh ekor ini ke kedai haiwan. Sayang, memang sayang. Tapi tak larat nak bela.Cukuplah saya bela ibu dan bapaknya saja (5 ekor) semuanya.

Ada sesiapa yang berminat mahu membeli anak-anak arnab ini?

Tuesday, December 29, 2009

Belajar masak...

Orang tua pernah berkata 'kalau mahu mengikat suami, ikatlah dengan perutnya'. Maksudnya ikatlah dengan masakan kita.

Saya dulu mula belajar memasak daripada sekolah lagi. Bukanlah setiap hari, tetapi hanya hujung minggu sahaja. Setiap hari sabtu dan ahad, emak saya tidak akan menjenguk dapur. Dia akan berjalan-jalan sekitar kampung (arwah abah saya meninggal masa umur saya 8 tahun. Jadi masak makan, cuma untuk kami sahaja). Jadi saya dan adik yang kena masak. Mak saya tidak pernah kata tak sedap. Entah betul sedap atau dia memang tak mahu menghampakan anak-anaknya. he..he..

Mula-mula memang hancus... Tapi lama-kelamaan ia menjadi lebih baik. Berbanding dengan anak-anak zaman sekarang. Baru dipanggil ke dapur, sudah ada yang merengus. Sudah pandai memberontak.

Sekarang ini saya selalu menyuruh anak saya menolong di dapur. Anak saya kata, dia 'lemas' bila di dapur lama-lama. Saya kena bersabar dengan dia, bila bawang saya berkecai dipotong ikut sesuka hatinya. Bila kepala udang dan perut ikan saya berkecai dikerjakannya. Biar dia belajar, tak dapat banyak sikit pun jadilah. Daripada dia tak tahu langsung.

Sebagai ibu yang ada anak perempuan, sudah tentu ibu itu mengharapkan pertolongan anak perempuannya menolong kerja di dapur. Lainlah kalau ada pembantu rumah.

Anda pernah dengar masak sup ayam, bubuh air asam jawa? Saya terkedu apabila mendengar adik saya bercerita. Ini kisah benar, bukan main-main tau. Birasnya memasak sup ayam begitu kerana dia diajar oleh emaknya begitu. Pelik bukan, tetapi benar. Sama seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.

"ala...kedai makan kan banyak..order je" Itu juga ayat yang selalu saya dengar. Betul. Kedai makan memang banyak. Tetapi suami kita sudah tentu lebih suka makan masakan kita. Sudah tentu terjamin kebersihannya. Dan saya juga tak mengakui yang saya pandai memasak. Tapi lepaslah juga, kalau keluarga suami saya datang.

Saya sendiri jarang makan di luar. Sebulan mungkin dua kali sahaja. Itu pun kalau penyakit 'M' sudah menyerang...he..he..he..

Friday, December 25, 2009

Tak sanggup..

Saya baru pulang dari Hospital Kajang. Mak long saya masih di ICU. Keadaannya bertambah teruk. Kaki kanannya telah dipotong di bawah lutut pada Selasa yang lalu. Tidak dapat diselamatkan.

Sebelum itu, keluarganya telah mengadakan bacaan yasin beramai-ramai. Dengan harapan semua ini dapat dielakkan. Tapi kuasa Allah. Tak siapa yang dapat menghalang.

Esok, cucu Mak Long saya akan bernikah. Robani Hassan (kalau yang minat sukan, mesti kenal siapa dia). Bayangkanlah perasaan ayah kepada pengantin ini. Emak sedang terlantar di ICU dan anak pula mahu bernikah esok. Sudah tentu pening kepala.

Semasa di dalam bilik ICU tadi, saya memimpin emak saya mendekati katil Mak Long saya (Mak long adalah kakak ipar mak saya). Kakinya yang tinggal separuh itu tidak berani saya selak. Perasaan takut dan ngeri menguasai diri.

Selama ini, saya biasa tengok gambar-gambar yang lebih ngeri lagi. Orang lain tak mahu tengok, tetapi saya akan tengok. Kepala leper, badan bawah tayar lori, daging berkecai, badan orang disiang dan dimakan dan macam-macam lagi.

Tetapi kenapa saya takut untuk melihat kaki Mak Long saya yang tinggal separuh itu? Mungkin kerana Mak Long saya ini adalah orang yang saya kenal dan ahli keluarga saya.
Saya tidak sampai hati...

Wednesday, December 23, 2009

Akal senipis rambutnya...

Saya kerap diserang Migrain sekarang ini. Tak tahu kenapa. Telan ubat sudah, tak jalan juga. Jumpa doktor tadi, katanya sebab banyak sangat mengadap komputer. Nak buat macam mana. Dari 8.30 pagi sampai 5.00 petang duduk depan pc..sebab tu saya jarang bukak pc kat rumah...mata letih sangat..

Sharing dari email;


Jangankan lelaki biasa,Nabi juga terasa sunyi tanpa wanita.

Tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah.

Masih mencari walau ada segalanya.Apa yang tiada dalam syurga?

Namun adam tetap rindukan hawa.



Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok.

Untuk diluruskan oleh lelaki.

Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus,

Mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang2 yang lurus.



Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjuk oleh Allah,

kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah.

Didiklah mereka dengan panduan darinya.

Jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta,

kerana nantinya mereka semakin liar.

Janganlah hiburkan mereka dengan kecantikan,

kerana nantinya mereka akan semakin derita.

Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal.

Ajar mereka untuk MENGENALI DIRI.

Di situlah punca kekuatan dunia dan akhirat.



Akal senipis rambutnya, tebalkanlah ia dengan ilmu.

Hati serapuh kaca, kuatkanlah ia dengan iman...

Perasaan selembut sutera, hiasilah ia dengan akhlak.



Suburkanlah ia kerana dari situlah nantinya..,mereka akan lihat nilaian dan

keadilan Rab...

Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan..

Ia bukan diskriminasi Allah..,sebaliknya di situlah kasih dan sayang

Allah...



Wanita yang lupa hakikat kejadiannya...

Pasti tidak akan terhibur, dan tidak akan menghiburkan...

Tanpa iman, ilmu dan akhlak..mereka tidak akan lurus...

Bahkan akan semakin membengkok...

Itulah hakikatnya andai wanita tidak kenal Rabbnya...



Bila wanita menjadi derhaka...

pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara....

Lelaki pula janganlah mengharapkan ketaatan semata-mata...

Tapi binalah kepimpinan...

Pastikan sebelum wanita menuju ilahi, pimpinlah diri kepadanya...

Jinakkan diri kepada allah...

Nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinanmu...

Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra'

Seandainya dirimu tidak sehebat saidina Ali karamallahuwajhah.



WALLAHUA'LAM....

Monday, December 21, 2009

' Berkampung '



Bila : Semalam - 20 Dec 2009
Waktu : Pukul 2.15 petang
Tempat : Shell minyak - Kota Warisan

Kami dalam perjalanan ke gedung pakaian Hari-hari untuk membeli baju sekolah. Selama 3 tahun ini, saya menjahit sendiri pakaian sekolah anak saya. Tapi tahun ini penyakit 'M' nya lebih besar. Jadi RM dari poket suami, kena keluar lebih sikit la..

Suami singgah hendak memenuhi tangki minyak. Saya pun keluar kerana tekak terasa haus. Cadangnya mahu membeli air mineral sahaja. Singgah seketika di rak surat khabar. Selalunya saya akan selak surat khabar atau mingguan wanita ini semasa di pasar. Tetapi pagi semalam saya buat tak tahu saja.

Capai mingguan malaysia.Selak bahagian cerpen. Simpan balik. Capai pula mingguan wanita. Selak juga bahagian cerpen. Eh! Betul ke ni? Bila tengok tajuknya, gembira rasa hati tidak terkira. Terus saya capai dan tunjukkan kepada anak saya. Spontan pipi anak, saya cium. Sejuk.

Sampai di dalam kereta, anak saya sudah menjerit-jerit. "Fadilah boleh! Fadilah boleh! Ibukan wirawatiku!" disusuli dengan ucapan tahniah dari suami.

Gembira? Sudah tentu saya gembira. Rasa nak melompat-lompat, tapi tak larat. Peha sakit tak hilang lagi. Suami sempat kata, "masa ke laut, tak ingat." Ha..ha..ha..

Saturday, December 19, 2009

Semalam...1 Muharam






Semalam kami (family kakak dan saya anak beranak) pergi ke pantai. Nama tempat itu Teluk Kubur. Kenapa dinamakan sedemikian? Kerana di situ ada kubur lama. Letaknya di belakang EAGLE RANCH RESORT PD.Sekarang keadaan tempat itu berbeza.

Dulu, lalangnya saja sudah setinggi saya. Laluan hendak ke pantai pun kena lalu dicelah pokok-pokok gelam. Pernah sekali terserempak dengan ular sawa yang sebesar betis saya melintasi laluan itu. Dengan debaran, kami membiarkan dia lepas dulu. Takutnya masa tu....

Kini, laluannya sudah bertar. Kereta boleh parking sehingga menghampiri ke gigi pantai. Sudah ada kedai makanan. Begitu besar perbezaannya.

Tujuan kami ke sana, kerana hendak mencari siput. Semasa saya datang, sudah ada 6 ekor belangkas yang telah dapat ditangkap oleh anak buah saya (gambar no 4). Masa tu air masih pasang lagi. Sedap kalau di masak cili ataupun lemak kuning. Isinya sepuluh kali lebih sedap dari ketam. Tapi kena pandai menyiangnya, kerana ada satu bahagian kecil yang perlu dibuang. Kalau makan boleh memudaratkan. Pantangnya jangan dimakan bersama dengan air kopi o dan juga ubi kayu. Jangan tanya kenapa? Memang itu yang diberitahu oleh emak saya. Pernah kawan saya bertanya "belangkas tu duduk atas pokok ke?" He..he...

Gambar ketiga adalah remis. Kecil-kecil sahaja. Sedap kalau direbus dengan daun kunyit, serai yang dititik dan juga bawang. Goreng cili pun sedap.

Gambar kedua, adalah siput belat. Kami dapat dua baldi siput semalam. Ini bahagian saya. Ingat nak masak sambal nanti. Tiram juga entah berapa puluh ekor yang menjadi rezeki kami semalam.

"Patutlah orang yang duduk kat tepi laut selalu kena gout, senang dapat makanan laut." Itu kata suami saya sambil menelan tiram mentah. Entah berapa ekor yang ditelannya semalam saya pun tak tahu. Suami dan anak saya begitu teruja dengan pengalaman ini.

Dan saya gembira, kerana dapat melalui pengalaman ini sekali lagi. Lama sudah saya tinggalkan tempat ini. Bau air laut membuatkan saya terkenang zaman kanak-kanak saya. Tiada rasa takut.. Hendak ke pulau, kena mengharung air separas dada. Semalam, saya tanya kakak saya, ada berani nak pergi Pulau Asam? Jawapannya tak berani, saya juga.

Dan akibatnya, hari ini saya jalan macam robot. Semua badan rasa sakit. He..he..he..

Tuesday, December 15, 2009

Harta dalam negeri...





Duit bagai air yang mengalir tanpa dapat disekat, bila saya ke kedai buku. Saya akan membeli apa saja buku yang saya suka dan menarik perhatian.

Tabiat suka buku ini sudah lama. Sejak saya bersekolah lagi. Tetapi pada masa itu, nak membeli tidak mampu. Jadi amalan meminjam itu sudah biasa. Tetapi saya akan pastikan buku itu dipulangkan secepat mungkin. Boleh dikatakan, saya telah habis membaca buku cerita di perpustakaan sekolah pada waktu itu.

Bila saya mula berkerja (masa itu kerja kilang)dan apabila mendapat gaji setiap hujung bulan, saya akan membeli sekurang-kurangnya empat atau lima buah buku. Sehinggakan emak saya bising..

"Asyik buku je kerjanya.." Itu kata emak saya apabila dia melihat saya tidak bergerak kerana leka membaca buku di atas katil.

"Baca buku lagi bagus dari duduk melepak tak tentu hala.. Kalau asyik lesap entah ke mana nanti, emak bising pulak." Jawapan skema.

Kata-kata itu mungkin membuatkan emak saya terfikir 'betul juga' dan tidak lagi bising-bisng dengan saya.

Sehingga sekarang ini, tabiat itu sudah sebati dalam jiwa. Nasib baik suami saya juga memahami.Kini koleksi buku novel saya sudah mencecah ke 500 buah. Belum termasuk bahan bacaan lain lagi seperti majalah kekeluargaan dan sebagainya. Tetapi tidak majalah hiburan (saya tidak berminat). Kalau dihitung harganya, sudah boleh dibuat hantaran perkahwinan agaknya.

Tetapi saya tidak membenarkan buku saya dipinjam. Sebabnya...saya sayang buku saya. Pernah saya meminjamkan buku saya kepada sahabat2 saya. Apabila ia dipulangkan, langsung tidak memuaskan hati. Malahan ada juga yang buat seperti harta sendiri.Kalaulah saya tahu, mati hidup balik pun saya tak akan pinjamkan.

Mungkin ada yang mengatakan saya kedekut. Betul. Itu saya akui. Sebab saya bukan membelinya dengan air liur atau mintak saja dari taukeh kedai buku. Lagipun saya kedekut dengan harta sendiri..Rakan sepejabat pun sudah tahu tentang sikap saya yang satu ini.

Saya cukup pantang apabila melihat buku dibuang atau dikoyakkan, hatta buku mewarna budak-budak sekali pun. Tak tahu kenapa. Rasa sayang sangat-sangat. Buku tadika anak saya masih saya simpan sehingga sekarang.

Setiap satu dari buku saya, ada label ditepinya. Saya menyimpan data (no label, tajuk, nama penulis dan harganya) di dalam pc. Rak buku itu juga dibuat sendiri oleh suami saya. Dari lantai hingga ke syiling rumah. Cantik? Iya. Cantik di mata saya sebab itu hasil tangan suami saya.

Suami saya selalu berkata "tunggulah besok...bila Nurul dah besar, habislah buku-buka awak.." Sengaja dia mahu mengusik.

Tetapi saya tetap susah hati... Bukan saya kedekut dengan anak sendiri, tetapi bolehkah dia menjaga buku-buku saya itu seperti saya menjaganya?

Sunday, December 13, 2009

ICU....Kajang

Semalam selepas habis sambutan di rumah pengantin lelaki, kami bergegas ke Hospital Kajang. Melawat Maklong yang sakit. Kencing manis yang semakin teruk nampaknya. Semasa kami tiba, dia sedang lalok. Sedang tak tentu arah sambil matanya sekejap terpejam dan sekejap lagi terbuka. Lalok kerana ubat.

Hari ini sekali lagi kami ke sana. Mendapat berita yang dia sudah dipindahkan ke ICU. Baru lepas pembedahan. Membuang nanah di hujung kaki. Dengar kata, hujung kakinya dikorek untuk membuang nanah yang sudah bertakung. Tahu sahajalah penyakit kencing manis macam mana. Puncanya hanya terantuk semasa mahu pergi ke bilik air sahaja. Melarat jadinya. Ditambah pula dengan kuman yang sedang merebak ke paru-paru.

Maklong saya ini seorang yang serba serbi tahu. Mengandam, bidan perempuan, tukang urut, dan macam-macam lagi. Kalau anak saya demam tak juga kebah, ke rumah dialah kami tuju. Minta air. Ialah, walaupun kita di zaman moden, kita kena percaya bahawa alam jin juga wujud. Selalunya kalau anak saya sakit, saya akan menuju ke klinik atau hospital dulu. Tetapi kalau tak elok juga, rumah Maklong saya akan menjadi pilihan. Setakat ini Alhamdulliah, dengan izinNYA.

Orangnya peramah. Bukan saja peramah, tetapi juga penyayang. Saya yang sudah tua ni pun, selalu dicium oleh Maklong saya ini. Disenangi oleh semua orang.

Tadi semasa di ICU, melihat dia yang terbaring tidak sedarkan diri dengan banyak wayar air berselirat di badan membuatkan saya sebak. Saya sempat mengira berapa banyak botol ubat yang tergantung tadi. Rasanya ada empat. Wayar- wayar yang besar (rupanya macam corong air keluar yang dekat mesin basuh kita)pun ada.

Semoga Maklong saya cepat sembuh. Amin...

Thursday, December 10, 2009

sharing




USEFUL TIPS

Correct timing to take water, will maximize its effectiveness to Human body.

Two (02) glass of water - After waking up - Helps activate internal organs

One (01) glasses of water - 30 minutes before meal - Help digestion

One (01) glass of water - Before taking a bath - Helps lower blood pressure

One (01) glass of water - Before sleep - To avoid stroke or heart attack

Tuesday, December 08, 2009

Terpisah...

Pada hujung minggu yang lepas (6/12) saya dan suami terpisah sementara. Tidak lama tetapi memenatkan. Kenapa? Kerana ada dua perkahwinan yang tidak dapat dielak, mahupun ditepis.

Anak kakak saya yang no 2 (lelaki) berkahwin di Pasir Panjang, Port Dickson. Jadi suami saya menghantar saya dan anak ke sana pada Sabtu petang. Majlis perkahwinan yang diuruskan sendiri tentu lebih rumit daripada menggunakan katering. Kaki tangan juga tidak mencukupi kerana pada hari yang sama ada juga 2 majlis perkahwinan, begitu juga kematian. Alhamdullilah. Semuanya selamat..Cuaca juga baik-baik saja.

Sementara menunggu suami saya datang menjemput semalam, sempat juga saya memetik buah limau nipis yang sekebun itu. Geram betul dengan buahnya...besar-besar. tapi yang tak bestnya, habis satu badan digigit dengan kerengga. Agaknya kerengga tu menyampah dengan saya, sebabnya saya tidak menanam, tapi cuma menuai hasilnya..he..he.

Kenapa suami tidak mengikuti saya?
Anak abangnya yang no 2(perempuan) juga berkahwin pada hari yang sama di Gombak. Masak sendiri juga... Dengar cerita suami, meriahnya bukan main lagi...

Malam tadi balik dari PD, terus zzzzzzz..Letih giler...

Sabtu yang akan tiba ni, disambut di rumah lelaki pula di Bukit Beruntung. Saya kena lah menunjuk muka. Sebab tu tak dapat join bengkel AVA minggu ni..

Thursday, December 03, 2009

Alamanda..

Apa ada di ALAMANDA PUTRAJAYA? Ada ramai orang. Mungkin masing-masing mahu melepaskan tekanan kerja dan membawa anak keluar bersiar-siar sementelah lagi sekarang ini cuti sekolah sudah bermula.

Begitu juga dengan saya. Memenuhi permintaan anak yang mahu menonton cerita 'Senario'membuatkan suami beratur panjang membeli tiket. Melihat air muka gembira anak saya sudah memadai. Itu pada hari Sabtu.

Berlainan pula dengan cerita 2012. Kami menonton pada hari Ahad.Dia asyik bertanya bilalah cerita itu akan habis. Rasanya sudah beberapa kali dia menukar posisi duduk. Cuma saat-saat akhir membuatkan dia rasa seronok. Saya tidak akan memberi komen untuk dua-dua cerita yang kami tonton ini, kerana saya bukan pengulas atau pengkritik filem.

Saya pernah merasa mengikut kakak saya menonton wayang masa kecil dulu(mungkin dalam umur 7 atau 8 tahun..tak ingat pulak..).Tiada aircond, cuma yang ada panggung yang berbau hapak dan masam. Sambutannya tetap bagus, mungkin kerana itu saja yang ada.

Rasa gembira sebelum masuk ke panggung. Dapat pula makan ais kepal yang disiram dengan sirap gula. Tapi tak lama.... Bermulalah rengekan mahu pulang...

"Lain kali, akak tak mahu bawa kau lagi.." Itu kata kakak saya. Dia bengang kerana tidak dapat menonton sehingga habis.. Ha..ha..