Selamat datang.

Selamat singgah.

Blog ini menjadi medan untuk saya mencurah rasa, mencoret cerita dan menampal muka yang mana saya suka.

Selamat membaca dan berkongsi rasa.



Friday, November 04, 2011

Panjangnya....

CERPEN

Setahun 365 hari
Oleh Fadhilah Maarif

SUASANA di ruang tamu itu sedikit hangat.
Bukan tak ada kipas. Ada, malahan tengah
berpusing laju. Hampir mahu tercabut langsir
yang berwarna hijau pucuk pisang tu. Tetapi
tidak mampu menyejukan hati yang sedang membara.

“Dalam setahun ada 365 hari. Takkan awak tak
boleh lepaskan saya dalam 10 hari.” Perlahan
saja suara itu. Sudah penat. Sudah lelah.

“Tak boleh saya kata. Awak jangan nak degil.
Susah sangat ke awak nak faham cakap saya.”
Ayu bangun.

Dia tidak mahu bertengkar lagi. Sudah lama
dia memendam rasa. Dia ingin bebas. Bukan
untuk selama-lamanya. Hanya 10 hari yang
dia pinta. Itu pun tak dapat. Itu pun tidak lepas.

Nasir hanya memandang isterinya berlalu. Dia
tersenyum sendiri. Akhirnya dia menang. Ego
kemenangan di dalam dirinya semakin tinggi.
Dia ada kuasa. Kuasa yang membolehkan dia mengawal
isterinya. Kuasa seorang suami. Tidak boleh dibantah.
Dibangkang pun jangan.

Ayu yang sedang berbaring hanya menangis di
dalam diam. Selama 15 tahun mereka berkahwin
dia tidak pernah meminta apa-apa.

Pada dia, suaminya itu beruntung kerana beristerikan
dia. Dia tidak pernah meminta duit, emas juga jauh
sekali. Perabut di dalam rumahnya sama usia dengan
perkahwinan mereka.

Itu dia tidak kisah. Tetapi dia juga tidak
pernah mengungkit jika tidak di beri nafkah secara
zahir dan batin. Ada dia terima, tiada dia tidak
pernah tanya.

Seingat dia sepanjang mereka berkahwin, tidak
pernah Nasir memberikan dia duit belanja, sedangkan
itu memang tanggung jawabnya sebagai seorang suami.
Dia tidak pernah mengungkit, kerana dia tahu yang
dia juga ada duit. Dia juga bekerja.

Mana yang kurang akan ditampung. Mana yang lebih,
memang dia akan menyimpannya. Bukan untuk kegunaan
dia seorang. Malahan kepada dialah Nasir meminta
pertolongan, jika suaminya itu kekurangan duit.

Hatinya ikhlas, kerana yang ditolong bukannya
orang lain. Teman sebantal dan setilamnya juga.
Tetapi kini hatinya berbelah bagi. Berbaloikah
pengorbanan yang dia lakukan selama ini. Hatinya
palak sendiri.

&&&&&

Berehat setelah penat berkerja memang menyamankan.
Lori pasirnya sudah diletakkan di bawah pokok
ketapang yang rendang. Sudah tiba waktu makan.
Bukan dia seorang yang berteduh disitu. Ada
lagi 2 orang rakannya yang sedang lena di pangkin.

Pangkin yang terletak betul-betul di bawah pokok
itu begitu menyejukkan kulitnya. Dia berbaring
menelentang. Mata galak memandang ke atas. Fikiran
melayang mengingatkan Ayu. Ayu yang sudah hampir
seminggu mogok suara. Selalu yang dia tahu dan
dengar hanya mogok lapar, mogok minta naik gaji,
tetapi ini lain ceritanya.

Mogok suara. Panjang soalan yang ditanya,
tetapi hanya sepatah dijawab oleh isterinya itu.
Nasir tahu apa yang membuatkan Ayu jadi begitu.
Tetapi sengaja dia buat tak tahu.

“Hanya 10 hari bang. Tak lama. Saya ingin berjalan
dengan kawan-kawan saya. Saya bukan mintak lama pun.”
Suara itu antara dengar dengan tidak di telinganya.

Bukan dia tidak beri, Ayu pergi. Tetapi siapa yang
akan menjaga anaknya yang seorang itu. Siapa yang
akan menjaga makan minumnya nanti.

Dia tidak mahu pening kepala. Dia hanya mahu
semuanya sedia terhidang di atas meja, tersedia
bila dia pulang nanti. Dia takut yang Ayu berpaling
kasih atau jatuh hati dengan jantan lain. Macam-macam
benda yang tak elok muncul di kepalanya. Menari-nari,
berjoget-joget di fikirannya sejak Ayu meminta izin hari tu.

“Sir, jauh menung. Ingat kat orang rumah ke?” Usik Johari.
Lama dia melihat Nasir termenung.

“Ermm.. Boleh dikatakan macam tu lah…” Perlahan suara Nasir.
Malas hendak bercerita , kerana dia bukan jenis
yang suka bercerita hal di dalam kain.

“Macam besar je masalah kau ni..”

“Tak ada apalah…”Nasir mengelak lagi. Sengaja
memusingkan badannya menghadap ke arah Johari.
Robert yang sedang tidur, sesekali dipandang.
Lena sungguh temannya itu, sehingga tidak menghirau
keadaan sekeliling.

“Kalau ada masalah cakaplah. Kau nie, macam
tak kenal aku. Sudah lama kita kawan kan..”

Benar kata Johari. Usia persahabatan mereka
sudah hampir sama dengan usia perkahwinannya
dengan Ayu. Jadi mereka mengenal hati budi masing-masing.

“Tak ada apa. Cuma, aku runsing.”

“Runsing pasal apa? Pasal duit? Kalau sikit tu
adalah, tapi kalau banyak tak dapat aku nak tolong.”
Johari sudah duduk tegak.

“Tak, pasal Ayu. Dia nak pergi melancong.
Dia mintak izin dengan aku. Tapi, aku berat
hati nak bagi dia pergi.”
Akhirnya satu persatu perkataan meluncur
laju dari mulut Nasir. Macam peluru. Laju saja perginya.

“Kenapa kau tak izinkan? Dia mintak kau duit ke?”

Nasir mengeleng. Duit lagi. Duit bukan segala-galanya.
Walaupun tak ada duit susah juga. Duit ‘cuma menyokong
segala tindakan, segala kelakuana baik yang buruk atau
sebaliknya.

“Aku takut dia akan lupa diri. Dia mintak izin
nak pergi melancong dengan kawan dia. Dia nak
pergi ke China. Makan angin.”

“Kau tak percaya kat dia ke? Kau ni pun satulah.
Sepanjang kau kahwin dengan dia, berapa kali dia
mintak nak berjalan macam ni? Emm, maksud aku pergi
tanpa kau dan anak kau..”

Lurus jari telunjuk Nasir mennujukkan angka 1.
Johari yang melihat hanya mengangkat kening.
Terpamer senyum di hujung bibirnya. Dia tahu
yang Nasir takut kehilangan Ayu.

“Kau ni memang tidak patut tahu.”

“Eh! Pasal apa pulak?”

“Kalau Ayu tu nak buat jahat, dia tidak mintak
izin dengan kau. Dia ada passport, dia boleh pergi
begitu je, dan tinggalkan kau. Tapi dia tak buat
macam tu kan.”

“ Aku tahulah, tapi aku risaukan anak aku
tu. Siapa nak jaga makan pakai dia, siapa
nak layan dia. Aku lagi…Kalau dia kena culik,
kena rogol…Eeee… Seriau aku…Siapa yang tak
sayang bini oii.”

Kata-kata yang tidak masuk dek akal kedengaran
di telinga Johari.

“Kita nie, sebagai suami tidak boleh mementingkan
diri sendiri. Ingat, isteri kita tu juga manusia.
Mereka juga mempunyai perasaan sendiri. Memang badan
mereka, milik kita sementara kita hidup. Tetapi hati
dan jiwa mereka adalah milik dia orang.”

“Tapi, aku risaulah…” Nasir merenung ke arah
jalan. Sungguh hatinya walang tetapi dia tidak
mahu menunjukkan kepada Johari.

“Sir, kau kena ingat. Sesekali kita kena lepaskan
mereka pergi. Kita kena percaya dan yakin dekat
orang yang kita sayang. Mereka bukan haiwan belaan
kita. Mereka punya perasaan ingin bebas juga. Percayalah,
mereka akan pulang.”

Nasir hanya mendiamkan diri. Tidak mahu berbicara
dengan Johari. Johari sudah bangun mendekati dia.
Duduk rapat dengan dia, malahan memeluk bahu
sahabatnya itu. Digengam sedikit, memberi kekuatan.
Memberi semangat.

“Kita memilih mereka sebagai isteri kita, bukan hanya
untuk menjaga makan pakai kita. Bukan hanya
untuk melahirkan zuriat kita, menguruskan seluar
baju kita yang sentiasa kotor ni..”
Suara Johari perlahan di telinga Nasir.

“Kita memilih mereka, kerana kita mahu
mereka berada dekat dengan kita. Tidur sebantal
dengan kita. Jiwa mereka bersatu dengan jiwa kita
tetapi kita harus ingat, kita tidak memiliki
jiwa mereka walaupun badan mereka kita uliti
setiap masa dan ketika. Jiwa mereka hak mutlak
mereka. Jadi rasa percaya itu yang membuatkan
mereka terikat dengan kita.”

Johari berlalu pergi setelah menepuk-nepuk
bahu Nasir. Dia tidak mahu Nasir mengalami
nasib seperti dia. Merasa kehilangan seperti
dia. Kehilangan isteriya kerana terlambat
menyedari apa yang isterinya mahu. Sehinggakan
ianya seperti menjadi api di dalam sekam. Terbakar
perlahan-lahan dan akhirnya dia ditinggalkan.

&&&&&

Sudah pukul 5 petang. Ayu sengaja menjeling
jam dinding di depan matanya. Dia malas mahu
pulang. Malas mahu menghadap periuk. Dia malas
mahu menghadap anak yang berada di taska itu.

Dia malas mahu menghadap suami yang tidak tentu
masa pulangnya. Boleh dikatakan malas dalam segalanya.

Bukan dia benci, bukan dia tidak sayang. Itulah
yang dihadapnya selama 15 tahun mereka berkahwin.
Rutin yang tidak pernah berubah.

Dia penat. Dia lelah. Mengejar masa untuk
masak makan malam, mengejar masa untuk
menguruskan kain basuhan. Kadang-kadang dia
merasa mahu menjadi seekor burung.

Terbang tinggi keserata alam, menghirup
udara di tempat orang. Merasa makanan di
tempat orang. Tidak payah memikirkan dapur
berasap ke tidak. Tidak payah memikirkan kain
baju yang perlu diuruskan.

Sesalkah dia kerana berkahwin awal? Entah dia
sendiri tidak pasti. Seawal 20 tahun sudah menjadi
isteri orang. Silap dia kerana tidak mengeliling
dunia sebelum mendirikan rumah tangga. Ah! Kalaulah
waktu boleh diputarkan..

Airmatanya hampir menitis apabila memberitahu
kepada Nana, sahabatnya yang tinggal di Indonesia
bahawa dia tidak dibenarkan pergi melancong
bersama ke China.

Dia bukan mahu berbuat jahat.
Cuma mahu merasa kebebasan selama 10 hari.

Itu saja, dan nampaknya sang suami tidak
memahami. Perlukah dia menunggu sehingga Nasir
tiada lagi, baru dia boleh pergi. Kadang-kadang
sampai begitu sekali rasa hatinya yang kecewa.

Dia penat bekerja, dia penat bila balik mahu
mengejar periuk, dia penat apabila malamnya
hendak melayan si anak. Ia, Ayu tahu itu memang
tugasnya sebagai seorang ibu dan isteri. Tetapi
dia juga perlukan masa untuk dirinya sendiri. Airmatanya
menitis lagi.

Lauk sudah terhidang. Ayu masih mendiamkan diri.
Anaknya yang berusia 5 tahun itu sudah lama lena.
Penat bermain disiang hari.

“Makan.” Perlahan suara Ayu, tetapi sempat
singgah di telinga Nasir. Antara mahu dan tidak,
dia bangun. Perutnya sememangnya lapar. Sengaja
menunggu Ayu habis memasak.

“Ayu.”

Ayu yang baru mahu melangkah ke bilik terhenti.
Berpaling tidak, hanya menundukkan wajah.

Nasir memaut bahu, dan mendongakkan wajah Ayu.
Direnung lama wajah itu. Tiada senyuman, tiada seri,
ketawa jauh sekali. Semua itu hilang, hanya kerana
rajuk tidak dapat mengikut teman berjalan di tempat orang.

“ Pergilah. Abang izinkan.”

Tersirna cahaya dari wajah Ayu. Ada rasa tidak
percaya timbul diwajah Ayu. Kenapa Nasir mengizinkan
dia pergi. Hantu atau jembalang dari mana yang telah
merasuk atau telah memujuk suaminya itu?

“Tapi…” Ayat itu hanya tergantung di situ.
“Atas dasar percaya, abang izinkan. Pergilah. Tapi
balik lah bila tiba waktunya. Ingat, abang dan anak
kita menunggu di sini.”

“Allah bang. Bukannya lama pun. 10 hari je. 10 hari
dari 365 hari, Ayu ingin lupakan gelaran isteri dan ibu…”
Nasir hanya tersenyum dan menggangguk.

&&&&&&&&&&TAMAT&&&&&&&&&&&&&

### Cerpen ini telah tersiar di Mingguan Wanita
bertarikh 4-10 November 2011 dengan tajuk 'Hanya
10 hari'.....Alhamdullilah..

Cuba komen sikit..

No comments:

Post a Comment