Selamat datang.

Selamat singgah.

Blog ini menjadi medan untuk saya mencurah rasa, mencoret cerita dan menampal muka yang mana saya suka.

Selamat membaca dan berkongsi rasa.



Wednesday, January 05, 2011

Coretan buat emak.



kenapa saya mahu menulis entry untuk emak saya? Entahlah…
Tiba-tiba hati terasa sayu dan seperti ada sesuatu
yang tersangkut tidak terluah.

Saya tidak tahu mahu memulai dari mana, tapi yang
pasti saya tetap mahu mencoret sesuatu di sini.

Saya ada satu emak, orang lain saya tak tahulah. Mungkin
ada emak tiri, mungkin ada emak angkat dan mungkin juga
ada macam-macam emak lagi. Tapi bagi saya, emak saya hanya
satu. Tak ada dua tiganya.

Cerita muda emak:-

Emak pernah merasa zaman jepun. Dia cakap masa tu cukup
susah. Makan ubi kayu, pisang dan apa saja benda yang boleh
di masak dan dimakan. Bila dengar siren bom jepun,
terus menyorok. Masa tu, emak masih budak-budak lagi.

Cerita masa dia bujang juga sesekali singgah ditelinga. Dulu
dia juga mengayam tikar. Bila bulan terang, pergi rumah
jiran dan pikul tikar untuk dianyam beramai-ramai...Bila siap,
jual... Dapatlah 20 sen. Nilainya besar masa tu.
" Zaman dulu tak sama dengan zaman sekarang ni." Pergi sawah,
tangkap ikan puyu dan macam-macam ikan.

Emak pernah putus tunang. Dua kali tunangnya diambil orang.
Bila sampai giliran arwah abah, emak terus nikah. Tak ada
tunang-tunang lagi. Yang lawaknya arwah abah kata dia duda
anak tiga. Bila dah kahwin baru dia tahu yang pasangannya ada
7 anak. Kira kena tipulah nie…hahaha.

Zaman perkahwinan emak:-

Emak bila bergaduh dengan arwah abah, selalu bungkus baju.
Kononnya nak balik tangga batu lah nie, tapi selalu tak jadi.
Sebabnya ada orang nasihatkan emak ( emak selalu terserempak
dengan orag tua ini. Orang tua itulah yang sering menasihati
emak). Jadi emak selalunya berpatah balik dan tak jadi merajuk.
Emak yang cerita dan kami yang mendengar terasa lucu pula.

Saya ingat masa kecil balik kampung (tangga batu), masa tu arwah
atuk sakit emak suap nasi lauk telur goreng kat atuk, tapi
saya mengacau. Nak juga makan, emak marah dan atuk marah emak
balik. Mata emak berkaca, itu kenangan yang tidak akan
saya lupakan.

Arwah abah pergi kira-kira 28 tahun.(saya berumur 8 tahun)
yang lalu. Dan selama itu jugalah emak
saya bersendirian tiada teman hidup. Ada anak tapi tak sama
dengan pasangan sendiri. Nampaknya emak mengotakan katanya untuk tidak
berkahwin lain. Dulu arwah ada kata yang emak akan berkahwin lain
selepas dia meninggal, nampaknya emak setia dengan arwah abah.

Di hari kematian abah, emak tidak menangis menggogoi, emak tabah.
Airmata hanya mengalir. Itu yang masih terpahat dikepala saya.
Saya? Mungkin juga menangis sebab saya tengok orang menangis.
Dulu-dulu semasa orang meninggal ada disediakan jag di hujung
kepala si mati untuk orang bersedekah. Saya ditegur oleh emak
sebab menyeluk duit itu. Emak kata ' baca Fatiha'. Terasa malu? Entah,
budak-budak mana tahu pun.

Arwah abah dikebumikan dekat dengan padang sekolah, jadi emak
rajin ke sana waktu pagi. Mengemas kubur dan mungkin juga
menyedekahkan sepatah dua surah dan saya tidak ingat bila
emak menghentikan tabiat itu.

Pernah juga saya menyorok di bawah katil,belakang pintu, bawah tilam
pun ada sebab emak mengejar dengan sudip nasi. Bergaduh punya pasal.
Orang dulu-dulu punya sudip nasi, bukan macam sekarang ini. Di buat
dari buluh. Kalau kena pukul, memang sedap.

Emak seorang yang mudah sakit, itu yang saya ingat. Tak boleh
terkejut atau terperanjat sikit.Seorang yang tidak suka makan
ubat, itu yang saya pasti. Kata mak lang (kakak emak)saya, emak
engkau ni ikut perangai emak aku. Ubat sorok celah tikar(mak lang hanya
perasan ubat itu disorok bawah tikar, semasa mengemas di hari
kematian arwah nenek). Takut nak makan.hahaha.. Yang pastinya, saya
tidak ikut perangai itu.

Emak jarang marah. Nak tahu macam mana dia marah? Yang saya
pasti, kalau emak marah dia akan memanggil nama penuh. Tak
pun dia cakap macam nie:-

" nanti kauuuu, kumpul lemak banyak-banyakkk." Lama tak dengar
ayat tu.

Setiap emak, mesti ada anak kesayangan. Emak paling sayang kat
abang saya. Beza satu tahun dari saya. Pernah saya dimarah kerana
tidak mahu memasak nasi untuk abang makan tengahhari, sebabnya
waktu tu bulan puasa. Adakah patut…Dah dewasa
masih tak puasa… Tapi emak sikit pun tak marah kat abang saya.

Kalau ada makanan, emak juga begitu. Mesti ingat pada anak
intan dia…Itulah emak saya.

Emak seorang yang tidak pandai meluahkan perasaan. Semua
masaalah ditelan sendiri, dan saya mewarisi sikap itu. Paling-
paling, bila ditanya kenapa emak menangis dia akan
jawab tak ada apa…..

Kini emak tidak berapa sihat. Kesihatannya semakin menurun.
Barang siapa yang ada emak atau nenek tu, baliklah menjeguk
sementara ADA. Esok-esok kalau dah tak
ada, baru nak menangis dan menjenguk buat apa ye tak.

Esok-esok kita juga akan melalui perkara yang sama. Tentu
kita juga akan terasa, apabila ada anak, ada cucu tapi
jarang bertanya khabar.

Sibuk?
Semua orang ada urusan masing-masing. Ambillah sedikit masa
untuk balik. Tak payahlah nak tunggu raya, baru nak balik.
Tak pun telephone, bertanya khabar. Kalau ada masa
untuk ber FB dan berblog, tentu anda banyak masa kan.

Tak ada kereta?
Banyak pengangkutan awam sekarang nie.Sebut saja nak kemana,
mesti sampai ke destinasi… Jangan itu dijadikan alasan.

Tak ada duit?
Pada saya,orang tua kita tidak mengharapkan sangat duit
dari anak-anak. Berapa banyak duit yang anda semua peruntukkan
ibu dan ayah anda? Berapa banyak pula yang dia gunakan?
Jadi, jangan takut untuk balik sebab tidak ada duit untuk
dihulurkan kepada orang tua kita.
Kepulangan anda, sudah membuatkan mereka gembira.

Ibu dan ayah boleh menjaga sepuluh anak, tetapi kita sendiri
belum tentu dapat menjaga ibu dan ayah kita sama seperti
mereka menjaga kita. Ingatan untuk diri sendiri dan juga
teman-teman.

Saya sayang emak! Murahnya air mata di waktu ini.....

Semoga emak saya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Amin…

1 comment: