ADIK terjaga apabila terasa ditendang. Siapa yang berani menendangnya? Matanya dibuka besar-besar. Dia geram kerana terganggu tidurnya. Dia yang sedang bermimpi enak terasa marah.
“Kenapa kakak menendang aku? Aku mengantuk. Sekarang bukan masa untuk bermain. Kalau mahu sangat, tunggu saja apabila aku bangun nanti.” Mata adik dipejamkan semula.
“Adik, tolong kakak. Ada lubang kecil yang cuba menyedut kakak. Tolong… Kakak tak mahu keluar. Kakak takut.” Suara kakak yang merayu membuatkan adik simpati dengannya.
“Lubang apa tu kak? Kenapa lubang tu nak sedut kakak pulak? Sudah tibakah masanya?” Si adik terasa cemas. Sudah hilang rasa kantuknya. Sudah hilang rasa marahnya.
“Entahlah dik. Kakak pun tak tahu. Cepat tolong kakak…” Kakak cuba menahan kakinya dari keluar. Adik cuba menarik kaki kakaknya supaya masuk ke dalam. Lendir yang menyeliputi badan mereka selama ini seolah-olah menjadi minyak gelincir dan membuatkan lubang itu senang menyedut mereka.
Separuh badan kakak sudah termasuk ke dalam lubang. Adik cuba menarik, kakak cuba bertahan dari jatuh. Badan kakak sudah terasa haba panasnya. Kakak sudah menangis. Simpati adik melihatnya.
“Kakak terjun saja. Cepat.” Adik menolak kakak apabila dia melihat kakak mengeleng tanda tidak mahu. Kakak takut. Adik menolak kakak sekuat hati. Dia kesian kepada kakak yang sedang tersekat di tengah lubang.
Akhirnya, kakak jatuh. Adik mengikut dari belakang. Kedua-duanya terpinga. Tempat apa ini?
&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&
SENTUHAN dari tangan yang panas, membuatkan adik terjaga. Adik melihat kakak tidur pulas di sebelahnya. Kain kapas yang berwarna putih menjadi alas tidur mereka. Lembut dan halus. Tidak seperti mula-mula mereka keluar dari lubang tadi. Terjatuh ke atas batang-batang besi yang membentuk segi empat.
“Bangun. Minum susu. Mesti hauskan.” Suara asing itu begitu kuat dan terasa menyakitkan telinga adik. Siapa dia ni? Hati adik bertanya sendiri. Dia menendang kakak.
“Bangun kak. Cepat. Apa dia nak buat dengan kita ni?” Adik menjerit. Kakak juga begitu. Kalau adik takut, kakak lagilah kecut.
Puting susu yang bengkak dan dipenuhi bulu itu disua ke mulut adik. Adik menolak. Tangan yang panas itu menonyoh muka adik. Adik geram. Hendak melawan tidak boleh. Tangan panas itu lebih besar dari badannya. Antara mahu dan tidak adik terpaksa membuka mulut. Eh! Sedap pula rasa air ni. Terus dinyonyot tanpa henti.
Kakak pula diperlakukan seperti adik. Kakak sudah menangis sambil menendang tangan yang panas itu. Kakak takut. Melihat adik yang tersenyum akhirnya dia berhenti menangis. Apabila melihat adik sudah sendawa kepuasan, kakak baru berani mahu menghisap puting susu. Kakak tersenyum.
Kakak sendawa kuat. Adik tersenyum gelihati. Kakak merenung perutnya yang buncit. Perut adik juga begitu. Kedengaran ketawa dari mulut mereka. Mata semakin memberat, tetapi telinga masih berfungsi.
“Comel sungguh kan...” Suara asing itu membuatkan adik terjaga. Mengacau saja, aku nak tidur pun tak senang. Adik memusingkan badan. Perutnya yang besar membuatkan dia tidak selesa. Ada rasa mengah.
&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&
Dua minggu kemudian.
“Adik hitam legam macam arang. Kakak putih macam kapas.” Suara ejek-mengejek kedengaran. Pada waktu tengahari begini, mata tidak mengantuk pula. Dari pagi tadi selepas minum susu, mata tak mahu lelap. Jadi diajaknya adik bermain.
“Biarlah aku hitam. Hitam itukan menawan. Lebih cantik dari kakak. Sudahlah gemuk…”Adik mengejek. Kakak sudah mencemik.
“Adik kata kakak gemuk? Biarlah. Itu tandanya kakak senang hati. Adik tu yang kurus kering macam tak cukup makan tu kenapa?”
“Aku kurus kira okeylah tu. Diet sikit. Kakak tu yang putih sangat, macam kain kapan. Ibu kitakan warnanya hitam kelabu.” Adik mengusik. Dia memang suka membuat kakaknya menangis. Kakak yang lebih dulu berdenyut jantungnya semasa di dalam dulu.
“Adik ni kan… Memang selalu buat kakak marah tau. Mana kakak tahu, kenapa kakak lain dari adik. Bukan semuanya sama. Bukan semuanya kena ikut rupa ibu kita.” Kakak sudah teresak. Matanya sudah berair. Dilap dengan telapak tangan.
“Iyalah. Saja aku bergurau. Itu pun nak menangis. Betul. Kalau kita sudah ditakdirkan dengan rupa dan warna begini, kita terima saja. Semua itukan bukan pilihan kita.”
“Mana ibu kita? Kenapa kita diasingkan?” Kakak menjenguk. Hanya jeriji besi itu yang dipandang sejak mereka dilahirkan. Entah bila mahu merasa tidur dibawah ketiak ibu. Entah bila mahu merasa menghisap susu ibu sesuka hati.
“Kalaulah kita boleh hisap susu bila-bila masa kan seronok. Ini tidak. Pagi dan petang saja. Aku haus ni.” Adik meluahkan rasa hati. Kakak hanya tersenyum. Nampaknya bukan kakak saja yang teringin, adik juga.
“Tunggulah aku besar nanti. Aku akan lawan mereka.” Kakak tergelak mendengarnya. Adik sudah baring menelentang. Mulut sudah menguap selebar-lebarnya. Mata semakin kuyu. Kakak yang masih lagi termenung tidak dihiraukan. Adik lena dalam diam sementara menunggu petang.
&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&
“BILA kita nak jual anak arnab ni ayah?” Muin bertanya kepada ayah yang sedang membaca surat khabar. Anak arnab itu di pegang. Diusap-usap dengan penuh kasih sayang.
“Kenapa Muin tanya?” Dilipatnya surat khabar. Cermin mata yang melorot ke batang hidung dinaikkan kembali. Baru jelas dia memandang.
“Saja Muin tanya. Muin suka anak arnab ini. Bulunya hitam. Cantikkan ayah. Warna putih ni pun cantik. Comel sangat.”
“Cantik memanglah cantik, tapi kita tak boleh bela dia. Kawan ayah dah janji nak bela dia. Minggu depan katanya nak ambil. Lagipun kitakan sudah ada 4 ekor kat dalam kandang tu. Banyak sangat. Tak terbagi makan ayah dibuatnya nanti.”
Muin terus mengusap. Sesekali dia mencium anak arnab itu. Ayah hanya tersenyum memandang. Tidak puas-puas Muin bermain dengan arnab. Serasi benar dia.
“Jangan dicium. Rompong hidung tu nanti. Hama masuk. Nanti tak ada hidung baru tahu.” Emak sudah menegur dari dapur. Emak menjeling ayah yang hanya membiarkan saja perlakuan Muin.
Memang emak tidak suka Muin buat begitu. Takut penyakit lelahnya datang. Kalau Muin sudah tercungap-cungap seperti ikan yang naik ke darat nanti, dia juga yang susah. Dia juga yang harus bersengkang mata menjaganya sedangkan ayah berdengkur lenanya.
Muin memasukkan kembali anak arnab itu ke dalam sangkar. Sayu matanya melepaskan pandangan. Diletakkan kembali di atas almari kasut. Sempat berbalas senyum dengan anak arnab yang memandang.
&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&
KAKAK sudah termenung dari tadi. Air mata yang mengalir tanpa henti dibiarkan membasahi kain alas tidur mereka.
“Kakak janganlah menangis. Macam anak kecil. Badan pun dah berbulu, masih nak menangis. Cuba jadi macam aku ni. Tenang je.” Kakinya disilangkan. Tanda senang hati. Siap bersiul lagi.
“Cuba adik fikir. Kalau kita di jual kepada orang lain, sudah tentu kita kena berpisah dengan ibu kita. Kakak tak mahu. Kakak nak dekat dengan ibu kita. Sudahlah kita jumpa ibu hanya 2 kali saja dalam satu hari.”
“Kakak ni. Kita kan dah besar. Tengok, bulu kita pun dah panjang. Takkan kita nak duduk bawah ketiak ibu dan minum susu lagi. Tak malu ke?” Adik cuba memujuk, tetapi dalam pada itu mengejek juga.
“Adik hari-hari hisap susu ibu. Tapi adik tak sayangkan ibu. Ibukan selalu cium kita. Ibukan selalu gomol kita. Adik…walau ke bumi mana pun adik pergi, walau ke langit mana pun adik pandang, adik kena ingat. Kerana ibulah kita ada di sini. ” Suara kakak sudah sayu.
Adik hanya diam. Tidak kuasa mahu mengulas. Adik tahu, walau macam mana dia memujuk pun, kakak tetap akan menangis. Ah! Betina memang leceh. Lembik. Sikit-sikit takut, sikit-sikit menangis. Tengok macam aku ni… Adik memuji diri sendiri.
“Ibu tu selalu tendang adik. Ibu tu, bukan sayang adik pun. Ibu sayang kakak saja.” Adik meluahkan rasa tidak puas hatinya. Memang, selalunya dia yang menjadi mangsa. Kekadang dia terasa tidak bernafas dan lemas apabila ibu menghempap dia.
“Macam mana ibu tak marah. Macam mana ibu tak tendang. Adik hisap susu, ganas sangat. Kakak tahulah adik tu haus. Cuba lembut sikit. Sakit puting susu ibu tahu. Kuku kita yang tajam ini pun, sudah menyakitkan perut ibu.”
“Kalau kakak tak mahu ikut, apa adik peduli. Adik mahu pindah kat rumah lain. Adik tak mahu tinggal kat sini lagi.”
“Adik memang tak sayang ibu. Berdosa tahu. Adik kena ingat, syurga tu di bawah telapak kaki ibu tahu. Jangan main-main. Ibu yang menjaga kita selama ini, susu ibu yang membesarkan kita. Kena ingat tu.”
Kata-kata kakak ibarat mencurah air di daun keladi. Langsung tidak berbekas ditelinga adik. Adik menjeling. Menyampah.
Kakak menyambung menungnya. Apa akan jadi kalau mereka berpindah nanti. Dapatkah mereka merasa lagi tangan yang selalu membelai mereka itu. Dapatkah mereka dekat lagi dengan hidung yang mencium mereka setiap hari? Dan yang paling penting, dapatkah mereka merasa lagi kepanasan badan ibu mereka seperti setiap kali, mereka menyusu?
Kakak bertekad tidak mahu pergi. Biarlah dia disini. Dia mahu mati disini. Dekat dengan ibu yang selalu memandang dari jauh. Yang selalu senyum dari jauh…
&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&
ADIK sudah teruja. Kalau tidak salah pendengarannya, hari ini mereka akan berpindah dari sini. Berhijrah ke rumah baru dan merasa suasana yang lain. Dia seronok. Kakak yang masih termenung dijelingnya.
“Kakak ni kenapa? Dari malam tadi kakak duduk kat situ tak bergerak. Janganlah susah hati macam ni.” Adik memujuk. Dia berensot sedikit. Tempat duduknya basah kerana dia tidak dapat menahan pundi kencingnya.
Kakak tetap berdiam diri. Memandang tidak. Menjawab pun tidak. Apakah kakak sudah menjadi pekak dan tuli?
“Kakak! Kakak dengar tak aku panggil ni?” Mulut bertanya, mata memerhati keluar. Siapa dia ni? Tak pernah tengok pun? Tuan aku yang baru kah? Tersirna senyuman dari bibirnya yang merah jambu itu.
“Ya ALLAH. Mati pula arnab ni.” Semasa kakak diangkat, kata-kata itu terkeluar dan membuatkan senyuman meleret adik mati serta merta. Hatinya tersentap. Sampai begitu sekali kakak tak mahu meninggalkan ibu. Sampai begitu sekali kakak takut. Adik kesal… Airmata yang selama ini disimpan, tertumpah jua. Tercapai jua hasrat kakak tidak mahu berpindah.
Ibu yang memandang dari jauh sudah tidak tentu arah. Dia tidak dapat menyelamatkan kakak. Dia nampak lipan masuk ke dalam sangkar kakak dan adik malam tadi. Kalaulah dia dekat, akan digigitnya lipan itu. Kalau dia mati pun dia rela, kerana kasihnya ibu tiada tandingan. Tetapi apakan daya…
&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&TAMAT&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&
No comments:
Post a Comment