Selamat datang.

Selamat singgah.

Blog ini menjadi medan untuk saya mencurah rasa, mencoret cerita dan menampal muka yang mana saya suka.

Selamat membaca dan berkongsi rasa.



Sunday, March 14, 2010

Sabarnya ibu..

Hari ini saya mahu menceritakan tentang tahap kesabaran seorang ibu, iaitu adik saya sendiri. Mempunyai seorang anak yang menghidap penyakit Autisma + hyperaktif. Sama usia dengan anak saya iaitu 10 tahun.

Malam semalam semasa kami berada di kampung, Dayang (namanya) telah bangun pada pukul 3 pagi dan menjerit-jerit. Mengamuk tak tentu pasal. Kami sudah biasa dengan kerenahnya itu. Dia suka 'naik angin' tak tentu pasal. Hanya adik saya yang faham dengan perangai anaknya. Suka membanting kerusi dan apa saja yang ada di depannya.
Hinggakan cermin almari dirumah mak saya itu, sudah habis kena tendang.. Bila dia luka, dia akan menangis sekejap saja..lepas tu buat balik.

Sekarang ini, jika ada kenduri kendara sesama ahli keluarga pun, dia tidak akan menghadirkan diri kerana anaknya itu susah mahu di kawal. Memang Dayang tidak akan duduk setempat walaupun 1 minit. Kerana bukan semua orang memahami budak yang sebegitu.
Apatah lagi kalau kenduri sesama jiran. Tapi ini tidak bermakna Dayang terkurung di dalam rumah sahaja.

Dayang bersekolah setiap hari dari pukul 8 hingga ke pukul 5 petang. Dua sesi setiap hari untuk mengelakkan emaknya iaitu adik saya menjadi tertekan. Adik saya dan anaknya setiap bulan akan pergi ke Hospital dan berjumpa doktor pakar bagi memantau kesihatan dia dan anaknya.

Di rumahnya sendiri sudah ada bilik yang dipasang gril untuk mengawal sikap anaknya bila dia 'naik hantu'. Bila sudah habis mengamuk, baru dia dikeluarkan dari bilik itu. Perangainya semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Terlalu susah dikawal. Doktor pakar sendiri mengesyorkan adik saya berbuat begitu.

Semalam adik saya menceritakan yang anaknya didera lagi di sekolah khas. Sekolah itu, sekolah swasta yang dibayar sebanyak 500 ringgit sebulan. Matanya lebam, kepalanya benjol. Apabila ditanya oleh pengetua kepada guru yang bertugas, dia mengatakan Dayang terhantuk tombol pintu. Bila dibawa ke doktor, doktor mengatakan yang ianya cedera akibat ditumbuk. Kesian anak saudara saya ini. Mengikut kata adik saya, perkara ini sedang disiasat dan akan di bawa ke pengadilan.


Jika siangnya dia makan gula-gula dan coklat, dia akan berjaga sehingga keesokan harinya. Manisan akan menambah sifat hiperaktifnya.

Dayang pernah terlepas dari perhatian emak saya pada umur 5 atau 6 tahun(saya tidak ingat). Dia berlari menuju ke jalan besar dan berhenti di tengah-tengah garisan putih (rumah emak saya 100 meter dari jalan besar). Yang sempat dicapai dan dipegang hanya bajunya saja. Itupun dapat dipegang oleh jiran sekampung yang sudah nampak dia melarikan diri dan mengejarnya dengan motorsikal.

Bukan itu saja yang dia buat. Pernah dia memanjat dan meniti atap rumah sambil ketawa. Emaknya punyalah kecut perut..Masa tu rumah jiran sedang di baik pulih. nasib baik dia makan pujuk.

Adik saya menghantar anaknya sekolah, kerana dia mahu anaknya itu pandai menguruskan diri sendiri. Bukan untuk pandai membaca. Di sekolahnya anak-anak murid khas ini akan dibawa keluar pergi 'shopping' bersama guru masing-masing. Mengikut kata adik saya seorang guru perlu mengawal dua orang anak murid. Tetapi tiga orang guru diperlukan untuk mengawal anak saudara saya ini.. Saya yang mendengar, rasa nak ketawa ada..kesian pun ada...

Lagi satu perangainya, bila dia nak makan dia akan mengambil pinggan dan menghulurkan kepada emaknya. Bila diisi dengan nasi, dan disuap makanan itu diluahkan kembali. Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali dia buat begitu. Saya yang melihat, terasa geram juga.. Kata doktor, Dayang suka mendera emaknya sendiri (membuatkan emaknya penat dengan kerenahnya)

Yang boleh mengawalnya hanya ayahnya sendiri.

Saya sendiri kesian dengan adik saya...kadang-kadang mahu juga bawa berkelah atau lepak-lepak tepi pantai..tapi semua itu tak menjadi apabila mengenangkan Dayang.
Bukan tak nak bawak, tapi takut dia tidak terkawal. Sedangkan rumah mak saya dengan Pantai Puteri hanya 5 minit perjalanan saja. Orang jauh pun sudah sampai dan lepak disitu, kami hanya lalu saja..

Memang saya tabik spring dengan kesabaran dia.. Kalau saya disuruh menjaganya,saya akan angkat tangan tanda menyerah kalah. Tak sanggup!

3 comments:

  1. Akak terharu membacanya dan memahami kesukarannya.

    ReplyDelete
  2. Saya terharu membacanya, memang ini adalah satu cabaran untuk menjaga anak-anak istimewa. Cuba begini (ini cuma saranan saya), gunakan teknik minda kiri untuk perlahan-lahan mengubahnya. Saya yakin insya-Allah setiap penyakit ada pemyembuhannya seperti yang dijanjikan Allah, kecuali mati. Teknik ini cuba cari di Google.
    Oh ya, seperkara lagi, kad ahli AVA akan dihantar tidak lama lagi dalam sehari dua ini, insya-Allah.

    ReplyDelete
  3. terima kasih kak MK & AK.. itulah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul..Autisma, tak susah nak kawal rasanya, tetapi bila dah dicampur dengan hyperaktif..tu yg menjadi-jadi...bayangkan pernah dia disuntik dgn ubat bius, untuk bagi dia tidur (nak scan otak dia) sampai 3 jarum pun tak tidur...mata masih terkebil-kebil lagi walaupun badan dah tak bergerak..

    Insya-ALLAH, akan saya cuba cari di Google..

    ReplyDelete